Peranan Ketua Pengarah Insolvensi

Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia (KPI) merupakan satu jawatan statutori yang diwujudkan di bawah Akta Kebankrapan (Pindaan) 2003 bagi tujuan mentadbir kes-kes kebankrapan di seluruh Malaysia.

KPI juga dikenali dengan nama lainnya iaitu Pegawai Penerima Malaysia yang merupakan satu jawatan statutori yang diwujudkan berdasarkan Akta Syarikat 1965 bagi tujuan mentadbir kes-kes penggulungan syarikat, samada sebagai Pelikuidasi sementara atau Pelikuidasi yang dilantik Mahkamah.

Perlantikan KPI adalah daripada kalangan ahli-ahli perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. KPI dilantik oleh dan juga merupakan pegawai di Jabatan Perdana Menteri. Pada masa yang sama, beliau juga merupakan seorang pegawai Mahkamah. Oleh yang demikian, beliau bertanggungjawab untuk menjalankan perintah-perintah dan arahan-arahan Mahkamah serta memenuhi tanggungjawab berdasarkan undang-undang.

Peranan KPI merangkumi bukan sahaja pentadbiran estet kebankrapan dan penggulungan syarikat, malah memantau kelakuan penghutang.

Tugas-tugas Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia.  

  1. mentadbir dan menyiasat hal ehwal bankrap serta melaporkan salahlaku bankrap
  2. bertindak sebagai penerima bagi estet penghutang dan pengurus estet sekiranya tiada pengurus khas dilantik
  3. membuat laporan berkenaan dengan kelakuan penghutang sebagaimana diarahkan oleh Mahkamah atau sebagaimana yang ditetapkan
  4. mengambil bahagian dalam pemeriksaan awam penghutang sebagaimana diarahkan Mahkamah
  5. mengambil bahagian dan memberi bantuan sebagaimana diarahkan oleh Pendakwa Raya berkenaan dengan pendakwaan mana-mana penghutang fraud atau mana-mana orang lain yang dituduh dengan suatu kesalahan di bawah Akta Kebankrapan 1967
  6. mengumpul wang atau memberi kuasa kepada pengurus khas untuk mengumpul wang dalam mana-mana kes untuk kepentingan pemiutang-pemiutang jika didapati perlu berbuat demikian
  7. memanggil dan mempengerusikan semua mesyuarat pemiutang-pemiutang yang diadakan di bawah Akta Kebankrapan 1967
  8. melaporkan kepada pemiutang-pemiutang apa-apa cadangan yang dibuat oleh penghutang berkenaan dengan penyelesaian hal ehwalnya
  9. mengeluarkan borang-borang proksi untuk digunakan di mesyuarat pemiutang-pemiutang
  10. mengiklankan perintah penerimaan, tarikh pemeriksaan awam dan perkara-perakara lain sebagaimana diperlukan untuk diiklankan

Tugas-tugas Pegawai Penerima Malaysia. Dalam kapasiti sebagai pelikuidasi syarikat dalam penggulungan, beliau: 

  1. meletakkan dalam jagaannya atau dibawah kawalannya semua harta atau benda dalam tindakan yang mana syarikat adalah berhak atau didapati berhak ke atasnya
  2. menyerahkan laporan permulaan kepada Mahkamah selepas penerimaan pernyataan mengenai pengurusan
  3. menyimpan buku-buku lengkap yang mencatatkan minit-minit prosiding di mesyuarat-mesyuarat dan apa-apa perkara lain seperti yang ditetapkan
  4. meletakkan senarai penyumbang-penyumbang melainkan Mahkamah menyatakan sebaliknya
  5. memberi perhatian kepada apa-apa arahan diberi melalui resolusi dari pemiutang atau penyumbang dalam mana-mana mesyuarat agung atau oleh jawatankuasa pemeriksaan dalam mengendalikan pentadbiran aset syarikat dalam penggulungan
  6. menjalankan apa-apa kuasa lain oleh Akta Syarikat 1965 yang diberikan kepada pelikuidasi dalam hal penggulungan
  7. Dalam kapasiti sebagai Pegawai Penerima, beliau:
  8. mengawal pelikuidasi-pelikuidasi luar dan mengambil tahu segala perbuatannya dan sekiranya terdapat apa-apa aduan, belaiu hendaklah menyiasat perkara tersebut, dan mengambil apa-apa tindakan seperti yang difikirkan sesuai
  9. boleh mengarahkan penyiasatan dibuat pada buku-buku dan baucar-baucar yang dikendalikan oleh pelikuidasi luar