Cetak

Akaun

1. Bolehkah bankrap/syarikat yang digulungkan mentadbir harta mereka setelah disiytiharkan bankrap/muflis oleh mahkamah ?

Menurut Seksyen 55 (1) Akta Kebankrapan 1967, Pegawai Penerima akan mengambil segala hakmilik harta, buku-buku rekod dan dokumen serta melaksanakan pindahmilik harta berdasarkan perintah mahkamah. Sementara itu, bagi kes penggulungan syarikat Seksyen 233 Akta Syarikat 1965 menyatakan bahawa pelikuidasi tetap mahupun sementara berkuasa mentadbir harta-harta syarikat yang digulungkan. Oleh itu, bankrap atau syarikat yang digulungkan tidak boleh mengurus harta mereka sendiri.

2. Bagaimana hendak membeli aset-aset bankrap/syarikat yang digulungkan ?

Pembeli boleh berurusan dengan peguam sibankrap/syarikat digulungkan dan majukan keputusan yang dipersetujui kepada MdI untuk tindakan selanjutnya. Pembeli juga boleh menghubungi MdI sendiri untuk membeli aset yang diiklan di Laman Web MdI.

3. Bagaimanakah untuk membeli harta bankrap/syarikat yang digulungkan yang telah dicagar ke bank?

Pembeli boleh membeli melalui lelongan awam atau berurusan terus dengan peguam bankrap/syarikat yang digulungkan yang berkenaan.

4. Bagaimanakah untuk menghasilkan harta bankrap/syarikat yang digulungkan?

Melalui proses tender dan triti persendirian. Triti persendirian akan dipertimbangkan apabila semua pihak bersetuju dengan harga dan pembeli.

5. Apakah tindakan yang akan diambil sekiranya wang deposit tidak dituntut oleh pihak pempetisyen ?

Deposit yang tidak dituntut bagi tempoh selepas dua belas (12) bulan dari tarikh deposit berkenaan boleh dikembalikan, akan diwartakan. Jika deposit masih tidak dituntut selepas tiga (3) bulan diwartakan, deposit yang tidak dituntut hendaklah dikreditkan ke Akaun Hasil Kerajaan. Walau bagaimanapun, deposit masih boleh boleh dituntut dengan mengemukakan surat tuntutan secara bertulis kepada MdI, beserta resit asal sebagai dokumen sokongan.

6. Apakah bentuk bayaran-bayaran yang diterima selain wang tunai oleh MdI?

Bayaran boleh dibuat dalam bentuk wang pos/kiriman wang/deraf bank dan bankers cheque berdasarkan arahan dari Jabatan Akuntan Negara Malaysia. Namun begitu cek persendirian tidak dibenarkan.

7. Apakah dokumen sokongan yang diperlukan bagi pembayaran bayaran balik deposit berkaitan dengan kes ditarik balik atau batal dan kes tidak sah ?

Tuntutan secara bertulis ke pejabat MdI dengan menyertakan dokumen sokongan seperti berikut:-
• Nombor akaun bank yang aktif, nama bank dan sesalinan buku akaun atau penyata akaun bank.
• Resit Asal pembayaran deposit, sekiranya telah hilang sertakan:-
• 2 salinan surat Pesuruhjaya Sumpah dan Bon Ganti Rugi dengan bayaran sebanyak RM 5.00 sahaja; dan
• Sesalinan Arahan Mahkamah (Court Order)

8. Apakah yang akan berlaku setelah aset kepunyaan bankrap/syarikat yang digulungkan di pindah milik kepada Ketua Pengarah Insolvensi?

Jabatan Insolvensi akan menguruskan semua aset berkenaan untuk menyelesaikan hutang bankrap/syarikat yang digulungkan tersebut.

9. Apakah yang akan berlaku kepada lebihan dari jualan aset bankrap/syarikat yang digulungkan?

Lebihan tersebut akan dikreditkan kepada ke Akaun Harta bankrap/syarikat yang digulungkan sebagai jumlah yang masih belum dibayar. Sekiranya setelah penyelesaian semua kos dan masih terdapat lebihan wang dalam akaun harta berkenaan, maka jumlah lebihan tersebut akan dibayar semula kepada bankrap/pengarah syarikat yang digulungkan.

10. Apakah kos-kos yang ditanggung oleh bankrap/syarikat yang digulungkan setelah aset dijual oleh MdI?

Fi akan dikenakan mengikut Jadual C Kaedah Kebankrapan 1969 dan Jadual C Kaedah Penggulungan Syarikat 1972.

11. Apakah yang perlu dilakukan sekirannya bayaran tidak diterima disebabkan olah akaun bank yang tidak sah ?

Sila hubungi cawangan MdI yang membuat bayaran dan kemukakan nombor akaun dan satu salinan buku akaun yang aktif atau penyata bank. Bayaran gantian akan dibuat setelah Cawangan tersebut menerima dokumen sokongan berkenaan.

12. Apakah yang akan berlaku sekiranya dividen masih tidak dituntut melebihi tempoh enam bulan atas pelbagai sebab tertentu ?

Semua dividen yang tidak dituntut selepas tempoh enam bulan serta dividen akhir diisytiharkan akan kekal di dalam Akaun Harta Kebankrapan selama tempoh 7 tahun. Setelah itu, sekiranya dividen masih tidak dituntut dalam tempoh tersebut, maka ia akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

Bagi kes penggulungan syarikat, Seksyen 286 Akta Syarikat 1965 menyatakan apa-apa dividen yang masih tidak dituntut melebihi enam bulan dari tarikh kena bayar, dividen berkenaan akan kekal di dalam Akaun Harta Penggulungan Syarikat selama 6 tahun. Sekiranya ia masih tidak dituntut dalam tempoh tersebut, dividen tersebut akan dimasukkan ke Kumpulan Wang Diisatukan.

Bayaran masih boleh dilaksanakan sekiranya ada tuntutan selepas dari tempoh berkenaan.

13. Di mana Borang Bon Gantirugi boleh diperolehi ?

Borang Bon Gantirugi boleh didapati di semua Cawangan-cawangan dan Ibu Pejabat MdI atau dimuat turun dari laman web MdI.

14. Siapakah yang terlibat dalam proses membuat keputusan berkenaan aset-aset sibankrap/syarikat digulungkan?

Jawatankuasa Unit Jualan Aset (JUJA)

15. Apakah punca pembayaran dividen tidak dapat diproses ?

Dividen tidak dapat diproses akibat maklumat yang tidak lengkap. Sila pastikan maklumat-maklumat berikut disediakan:-
No akaun terkini yang aktif; Nama dan alamat bank; dan Salinan muka surat terakhir Penyata Bank

16. Kenapa perlu dijual harta bankrap/syarikat yang digulungkan??

Harta bankrap/syarikat yang digulungkan perlu dijual kerana hasil jualan berkenaan dapat diagihkan kepada pemiutang dalam usaha untuk memberi perlepasan kepada bankrap/syarikat yang digulungkan.

17. Kenapa perlu bankrap memaklumkan semua harta milikan mereka kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) ?

Menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kebankrapan 1967 Seksyen 2(4) dan Seksyen 31 (1) –(6) sekiranya pihak bankrap gagal memaklumkan kesemua harta milik mereka.