Cetak

Kebankrapan

1. Bolehkah seorang bankrap meneruskan penggunaan kad kreditnya?

Seorang bankrap hanya boleh menggunakan kad kreditnya dengan amaun tidak melebihi RM1,000.00. Sekiranya bankrap berniat untuk menggunakan kad kredit melebihi RM1,000.00, beliau hendaklah memaklumkan kepada pihak yang memberikan kemudahan kad kredit tersebut atas status kebankrapannya bagi membolehkan pihak yang berkenaan membuat keputusan sama ada untuk meneruskan pemberian kemudahan kad kredit tersebut. Sekiranya gagal, bankrap dianggap melakukan kesalahan di bawah Akta Insolvensi 1967.

2. Bolehkah seorang bankrap memohon kepada KPI untuk mengurangkan jumlah hutang?

KPI bertanggungjawab mentadbir perihal bankrap dan menguruskan estet kebankrapan. KPI tidak mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah hutang yang difailkan oleh pemiutang. Sekiranya bankrap berniat untuk mendapatkan pengurangan jumlah hutang bagi tujuan membuat penyelesaian penuh, bankrap hendaklah menulis atau berjumpa dengan pegawai di bank yang berkenaan untuk memohon pengurangan tersebut.
Sekiranya pihak pemiutang bersetuju dengan permohonan bankrap, bankrap hendaklah membuat pembayaran dengan jumlah baru yang dipersetujui kepada KPI dan KPI akan mengambil tindakan mengisytiharkan dividen kepada pemiutang.

3. Bolehkah seorang bankrap membuat bayaran terus kepada pemiutang untuk melangsaikan hutangnya?

Bankrap tidak dibenarkan membuat pembayaran terus kepada pemiutang. Bayaran tersebut hendaklah dikreditkan ke dalam estet dan akan diagihkan kepada pemiutang yang telah memfailkan Bukti Hutang.

4. Bolehkah seorang bankrap membuka akaun simpanan atau meneruskan penggunaan akaun sedia ada?

Setelah diisytiharkan bankrap, semua akaun simpanan akan ditutup segala transaksi akan disekat. Bankrap bagaimanapun boleh membuka akaun yang baru atau mengaktifkan akaun sedia ada bagi tujuan seperti kemasukan wang gaji dengan syarat mendapat kebenaran daripada KPI.
Permohonan tersebut hendaklah dibuat di cawangan Insolvensi yang mentadbir kes kebankrapannya.

5. Bolehkah bankrap memindahkan hartanya?

Seorang bankrap tidak dibenarkan untuk memindahmilik hartanya kepada pihak ketiga selepas Perintah Kebankrapan dibuat terhadapnya.
Setelah diisytiharkan bankrap, segala harta dan aset secara automatik terletak hak kepada KPI

6. Bolehkah bankrap keluar negara?

Seorang bankrap sama sekali tidak dibenarkan meninggalkan negara kecuali beliau mendapat kebenaran bertulis daripada KPI ataupun Mahkamah yang membenarkannya.
Permohonan hendaklah dibuat di cawangan yang mentadbir kes kebankrapan dengan menyertakan dokumen-dokumen sokongan. Borang permohonan boleh dimuat turun di dalam portal ini.

7. Bolehkah seorang individu mengisytiharkan dirinya sendiri sebagai bankrap sekiranya tidak mampu menjelaskan hutang?

Seorang individu boleh membuat permohonan ke mahkamah untuk mengisytiharkan dirinya bankrap seperti dibenarkan di bawah Seksyen 7 Akta Kebankrapan. Individu tersebut perlu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi dengan menyatakan ketidakmampuan menjelaskan hutang. Segala prosedur hendaklah dipatuhi sepertimana yang dinyatakan dalam Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah Kebankrapan. Maklumat lanjut boleh menghubungi cawangan MdI yang terdekat untuk khidmat nasihat / berhubung terus kepada Unit Aduan di MdI.

8. Bolehkah saya mengekalkan jawatan sebagai pengarah syarikat jika saya diisytiharkan bankrap?

Seorang bankrap yang belum dilepaskan hilng kelayakan untuk menjalankan tugas sebagai pengarah syarikat berdasarkan Akta Syarikat. Sekiranya bankrap ingin mengekalkan jawatan tersebut, permohonan hendaklah dibuat kepada KPI atau mahkamah. Perlu juga diingatkan bahawa tanpa kebenaran KPI dan mahkamah, bankrap turut dilarang daripada perkara berikut:
(a) Bekerja di syarikat milik pasangan, anak atau saudara-mara;
(b) Menjalankan perniagaan pemilikan tunggal.

9. Bolehkah ibubapa saya yang bankrap melawat saya di negara lain?

Perjalanan keluar negara hanya dibolehkan dengan kebenaran KPI yang diamanahkan melalui budibicara undang-undang. Tujuan utama ialah untuk memastikan banktrap memberikan keutamaan untuk menjelaskan hutangnya. Oleh yang demikian, lawatan sosial amat dilarang kerana dianggap wang tersebut seharusnya digunakan untuk membayar hutang.
Faktor seperti kelakuan yang baik, kepatuhan kepada peraturan dan kewajipan, inisiatif menyelesaikan hutang adalah paling utama dalam menentukan sama ada bankrap dibenarkan keluar negara atau sebaliknya.
Borang permohonan dan dokumen yang berkaitan boleh didapati di dalam portal MdI di bawah pautan 'Muatturun Borang'.

10. Bolehkan MdI membankrapkan individu?

MdI tidak membankrapkan individu. Seperti yang dinyatakan di atas, seseorang diisytiharkan bankrap oleh perintah mahkamah sama ada melalui permohonan daripada pemiutang atau permohonan daripada individu itu sendiri. Setelah perintah mahkamah dibuat, dari segi undang-undang KPI telah menjadi pentadbir kepada estetnya dan akan memantau dan menyelia kelakuan bankrap.

11. Adakah pemiutang saya mempunyai hak untuk membekukan aset saya setelah saya diisytiharkan bankrap?

Sebagai seorang bankrap, segala harta adalah terletak hak kepada KPI. Pemiutang tidak boleh mengambil tindakan selanjutnya untuk mendapatkan hutang yang ditanggung. Walau bagaimanapun, pemiutang yang bercagar boleh menyita dan menghasilkan harta anda. Hasil jualan tersebut akan digunakan untuk membayar hutang yang lain sekiranya hasil jualan tersebut mempunyai lebihan.

12. Bagaimana seorang bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapannya?

Terdapat tiga cara untuk menamatkan status kebankrapannya iaitu:
(a) Membuat permohonan pembatalan ke mahkamah dengan alasan hutang telah dijelaskan sepenuhnya / tidak sepatutnya diisytiharkan bankrap;
(b) Membuat permohonan pelepasan ke mahkamah pada bila-bila masa tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh mahkamah. MdI perlu mengemukakan laporan kes yang menyatakan kelakuan dan kerjasama bankrap kepada Jabatan;
(c) Membuat permohonan pelepasan kepada KPI untuk pelemasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi di bawah Seksyen 33A Akta Kebankrapan 1967. Permohonan hanya boleh dibuat sekiranya pentadbiran kes kebankrapan telah dijalankan selama lima tahun selain memenuhi kriteria dan syarat-syarat yang lain.

13. Bagaimana saya boleh diisytiharkan bankrap?

Anda hanya boleh diisytiharkan bankrap melalui Perintah Mahkamah. Terdapat dua kaedah di mana perintah kebankrapan diberikan iaitu sama ada melaslui permohonan daripada pemiutang atau anda sendiri secara sukarela mendapatkan perintah membankrapkan diri sendiri

14. Bagaimana saya boleh menyemak status kebankrapan? Berapakah caj yang dikenakan?

1) Boleh membuat semakan melalui kaunter carian di pejabat kami di Ibu Pejabat.Caj yang dikenakan sebanyak RM 10.00

Boleh membuat semakan melalui laman sesawang di www. Insolvensi.gov.my . atau melalui myeg.com.my. Caj yang dikenakan sebanyak RM 12.00.

15. Bagaimana kebankrapan saya memberikan kesan kepada pekerjaan sekarang atau masa depan?

Kebankrapan tidak menghalang anda daripada bekerja. Namun, seseorang bankrap yang bekerja di sektor lain perlu menyemak sama ada terdapat sebarang ketetapan di dlaam kontrak pekerjaan atau dokumen syarikat. Sila rujuk SEKATAN KEPADA KEBANKRAPAN.

16. Sekiranya saya seorang pengarah syarikat atau rakan kongsi dan siiytiharkan bankrap, bagaimana ia memberi kesan terhadap jawatan dan peranan di dalam syarikat tersebut?

Dalam keadaan tertentu, sekiranya anda melibatkan diri dalam perniagaan, anda hendaklah mendapatkan kebenaran KPI ataupun kebenaran mahkamah

17. Adakah terdapat amaun minimun yang terhutang oleh seseorang individu untuk menjadikannya bankrap?

Ya, pihak pemiutang boleh memfailkan tindakan kebankrapan terhadap anda sekiranya keberhutangan lebih daripada RM50,000.00

18. Adakah kebarangkalian seorang individu diisytiharkan bankrap tanpa pengetahuannya?

Ya, seorang individu boleh diisytiharkan bankrap tanpa pengetahuannya. Ini mungkin disebabkan dokumen undang-undang telah dihantar ke alamat yang lama di mana individu tersebut tidak mengemaskini alamat keduaman menyebabkan mereka tidak menerima dokumen tersebut.
Dalam situasi seperti itu, undang-undang membenarkan pemiutang untuk menyerahkan menggunakan prosedur serahan ganti i.e melalui pengiklanan di surat khabar dan penghutang atau penjamin dianggap telah menerima pemberitahuan kebankrapan.

19. Adakah terdapat pelepasan secara automatik untuk bankrap??

Pelepasan automatik hanya tertakluk kepada kelayakan yang telah ditetapkan oleh peruntukkan Akta seperti berikut;


a) Notis Kebankrapan (BN) dikeluarkan pada atau selepas 6 Oktober 2017.

b) Telah memfailkan Pernyataan Hal Ehwal (PHE) di bawah seksyen 16 Akta 360;

c) Telah mengisi borang permohonan dan akujanji untuk mematuhi sasaran sumbangan (TC) dan pemfailan penyata pendapatan bagi tempoh enam (6) bulan;

d) Tempoh 3 tahun pemantauan sasaran sumbangan (TC) bermula dari tarikh PHE difailkan; dan

e) Bankrap mematuhi (TC) yang ditetapkan oleh KPI dengan mengambilkira beberapa perkara yang telah ditetapkan dalam Akta.

Nota : Mana-mana bankrap yang gagal menyelesaikan sasaran sumbangan (TC) dalam tempoh 3 tahun seperti mana yang ditetapkan, maka ia tidak layak untuk mendapat pelepasan secara automatik dan kes akan ditadbir seperti biasa sehingga suatu keadaan yang boleh diputuskan kemudian oleh MdI.

20. Jika saya diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah, adakah pemiutang bercagar dan tidak bercagar mempunyai kuasa terhadap harta benda saya?

Umumnya, setelah anda diisytiharkan bankrap, kesemua harta adalaj terletak hak kepada KPI. Namun, pemiutang bercagar boleh menguruskan harta anda di bawah Seksyen 8(2) Akta Kebankrapan 1967 yang mana harta itu akan dihasilkan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh Perintah Penerimaan. Dalam kes pemiutang tidak bercagar, mereka tiada kuasa untuk menguruskan harta anda dan sekiranya mana-mana pemiutang tidak bercagar berniat untuk meneruskan sebarang tindakan undang-undang terhadap anda, ia hanya boleh bermula dengan kebenaran mahkamah. Selain memfailkan saman terhadap anda, mereka juga perlu memfailkan bukti hutang mereka.

21. Memandangkan saya memerlukan kebenaran KPI untuk meneruskan pekerjaan sekarang atau mendapatkan pekerjaan yang baru, apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kebenaran tersebut?

Anda hendaklah membuat permohonan bertulis kepada KPI melalui cawangan MdI yang mentadbir kes kebankrapan anda. Sila ambil perhatian bahawa anda hendaklah menyertakan sekali dokumen-dokumen yang berkaitan dengan permohonan seperti pengesahan majikan, surat lantikan, senarai skop kerja, jumlah pendapatan, carian syarikat dan lain-lain.
Sekiranya KPI memutuskan untuk memberi kebenaran, beberapa syarat yang dirasakan perlu akan diberikan. Anda harus ingat bahawa pematuhan kepada syarat-syarat tersebut adalah perlu dan kegagalan berbuat demikian akan dianggap menghina mahkamah dan boleh dihukum penjara.

22. Memandangkan saya sudah diisytiharkan bankrap, apa yang akan berlaku terhadap harta saya?

Semua harta hendaklah terletak hak kepada KPI kecuali yang disenaraikan di bawah Seksyen 48(1)(a)(ii) Akta Kebankrapan 1967. Ini termasuk alat perdagangan dan pakaian keperluan isteri dan anak-anak untuk nilai yang tidak melebihi RM5,000.00. Semua harta yang terletak hak kepada KPI akan dijual dan hasil akan diagihkan kepada pemiutang yang memfailkan bukti hutang.

23. Apakah kelayakan yang hilang bagi seorang bankrap?

Apabila pengadilan/penghakiman dijatuhkan, bankrap adalah hilang kelayakan daripada:
(a) Memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen;
(b) Memegang jawatan sebagai penjawat awam (tertakluk kepada tindakan tatatertib Jabatan/KPI);
(c) Memegang sebarang jawatan dalam mana-mana badan berkanun, koperasi berdaftar atau organisasi;
(d) Mengamalkan profesion tertentu;
(e) Menjalankan perniagaan secara persendirian atau perkongisan atau menubuhkan syarikat;
(f) Bekerja dalam perniagaan saudara;
(g) Mengekalkan apa-apa tindakan tanpa sanksi KPI selain daripada tindakan untuk ganti rugi dalam kecederaan kepada orang lain;
(h) Meninggalkan Malaysia sebelum/tanpa kebenaran KPI atau Mahkamah;

(i)Pencen dan ganjaran lain yang diterima oleh bankrap hendaklah terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi untuk dibahagikan kepada pemiutang. Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Insolvensi mempunyai budi bicara untuk menentukan berapa jumlah pencen dan ganjaran yang boleh diberikan kepada bankrap.   
(j) Menguatkuasakan haknya di bawah undang-undang tertentu

24. Apakah prosedur yang perlu diikuti oleh seseorang apabila dia telah diisytiharkan bankrap?

Apabila seseorang telah dihukum bankrap oleh mahkamah, dia mesti hadir ke cawangan yang mentadbir kes kebankrapan MdI. Cawangan yang mentadbir kes bankrap biasanya adalah salah satu yang terdekat kepada Mahkamah Tinggi yang mana perintah kebankrapan telah dibuat. Apabila dia menghadiri cawangan, beliau akan diperlukan di bawah undang-undang kebankrapan untuk memberikan butir-butir dalam sesi pertanyaan awal, antara lain butiran mengenai nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat kediaman, ahli keluarga dan sebab-sebab kebankrapan.Bankrap juga akan dikehendaki untuk memfailkan Penyata Hal Ehwal yang memerlukan beliau untuk mendedahkan aset dan liabiliti kepada KPI.

25. Apakah tanggungjawab seorang bankrap?

Setelah mendapat perintah kebankrapan dan sepanjang tempoh kebankrapan, seorang bankrap mesti memberi kerjasama penuh dengan KPI dalam pentadbiran kebankrapan dan merealisasikan aset beliau. Bankrap perlu menyediakan maklumat mengenai aset dan liabiliti, transaksi kewangan dan perkara lain yang berkaitan.
Tanggungjawab bankrap termasuk:
1. Menghadiri di pejabat KPI secepat mungkin apabila menerima Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman dan lain-lain mesyuarat berikutnya dengan KPI apabila dimaklumkan perkara berkenaan;
2. Menyerahkan semua asset kepada KPI;
3. Mengemukakan Penyata Hal Ehwal yang lengkap;
4. Mengemukakan Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan setiap enam (6) bulan;
5. MEnghadiri semua mesyuarat pemiutang;
6. Membuat sumbangan/bayaran terhadap estet kebankrapan daripada 10% pendapatan peribadi;
7. Dilarang menerima sebarang pemberian wang/kredit sebanyak RM 1,000.00 atau lebih daripada mana-mana pihak tanpa memaklumkan pemiutang status beliau sebagai seorang bankrap;
8. Tidak membuat pembayaran secara terus kepada pemiutang;
9. Memaklumkan kepada KPI atas perubahan nama, alamat, nombor telefon, pendapatan, harta dan maklumat lain yang berkaitan; dan
10. Memberi maklumbalas atas pertanyaan KPI dalam masa yang ditetapkan.

26. Apakah risiko-risiko yang diambil oleh institusi-institusi kewangan jika mereka memutuskan untuk memberikan pinjaman kepada seseorang yang telah bankrap?

Jika pemberi pinjaman mengetahui status kebankrapan peminjam dan memutuskan untuk meluluskan pinjaman tetap, risiko akan timbul terhadap pemberi pinjaman. Pemberi pinjaman perlu bertanggungjawab dan menanggung semua risiko sekiranya peminjam iaitu bankrap gagal untuk membayar semula pinjaman.

27. Apakah kesan ke atas seorang bankrap yang mempunyai pekerjaan dalam profesion tertentu?

Bankrap tidak dibenarkan melibatkan diri dalam sebarang perdagangan atau profesion tertentu di mana mungkin terdapat sekatan tertentu yang akan dikenakan oleh persatuan professional atau pihak berkuasa pelesenan, seperti peguam, akauntan, pelikuidasi, juruukur kuantiti atau bertindak sebagai pengarah syarikat. Badan professional yang berkenaan perlu dirujuk untuk maklumat lanjut.

28. Apa yang akan terjadi kepada aset dan harta bankrap setelah diisytiarkan muflis?

Menurut Seksyen 24(4) Akta Kebankrapan 1967, segala harta bankrap akan terletak hak kepada KPI.

29. Apa itu Kebankrapan?

Kebankrapan merujuk kepada satu proses di mana seorang penghutang diisytiharkan muflis melalui perintah Mahkamah. Segala harta kepunyaan bankrap terletak hak kepada KPI dan KPI bertanggungjawab utnuk menghasilkan dan menjual semua harta tersebut. Hasil jualan harta akan diagihkan kepada pemiutang yang memfailkan bukti hutang dalam kes kebankrapan bankrap

30. Apakah perbezaan antara Pembatalan Perintah Kebankrapan dan Pelepasan Perintah Kebankrapan?

Pembatalan merujuk kepada penamatan Perintah Kebankrapan yang telah dibuat terhadap seorang bankrap, seolah-olah beliau tidak pernah dibankrapkan.
Sebaliknya, Pelepasan Perintah Kebankrapan melepaskan anda dari kesemua hutang-hutang yang boleh dibuktikan dalam kebankrapan kecuali hutang- kepada Kerajaan, Negeri , dan Peguam Negara yang berkaitan dengan bon-bon wang jaminan dan mana-mana hutang boleh dibuktikan yang mana disebabkan oleh penipuan atau pecah amanah.

31. Apa yang perlu saya lakukan setelah diisytiharkan bankrap?

Anda hendaklah hadir di cawangan MdI yang mentadbir kes kebankrapan anda dengan kadar segera. Cawangan yang mentadbir kes kebankrapan merupakan cawangan di negeri yang mana perintah kebankrapan dikenakan kepada anda. Anda diminta untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dan mendedahkan segala maklumat berkaitan pendapatan kepada Pegawai Insolvensi. Pegawai kami akan membantu anda dalam pengisian borang-borang yang berkaitan.

32. Sama ada bankrap dibenarkan untuk menguruskan hartanya sendiri?

Bankrap tidak dibenarkan untuk menguruskan hartanya sendiri sepertimana peruntukan Seksyen 8 Akta Insolvensi 1967 kerana segala aset dan harta adalah terletak hak kepada KPI. Oleh yang demikian, segala transaksi atau urusan berkaitan harta bankrap hanya boleh dibuat oleh KPI. Bankrap juga dilarang memasuki apa-apa urusan yang melibatkan kewangan

33. Mengapa boleh tardapat individu yang lain yang tidak mengetahui status kebankrapan berbanding yang lain?

Terdapat beberapa sebab mengapa ada bankrap yang tidak mengetahui status kebankrapan. Antaranya ialah apabila Notis Kebankrapan dan Petisyen Pemiutang dihantar secara serahan gantian iaitu melalui pengiklanan di surat khabar dan penampalan notis di papan mahkamah. Serahan gantian berlaku apabila seseorang peminjam gagal dikesan disebabkan pertukaran alamat tanpa memaklumkan kepada pihak yang memberi pinjaman

34. Adakah status kebankrapan saya akan menjejaskan pekerjaan sekarang dan peluang untuk mendapat pekerjaan biasa yang baru?

Sekiranya anda diisytiharkan banrap, ia tidak akan menafikan hak untuk meruskan pekerjaan sekarang ataupun mendapat pekerjaan baru. Bagaimanapun, ianya tertakluk kepada terma dan syarat di dalam kontrak pekerjaan majikan, sebagai contoh, sekiranya syarat menyatakan perlu memaklumkan majikan mengenai status kebankrapan, anda hendaklah memaklumkan kepada majikan akan status tersebut.

35. Apakah prosedur pindah fail?

Permohonan perlu dikemukakan secara bertulis ke cawangan MdI yang mentadbir kes kebankrapan beserta dengan dokumen sokongan yang membuktikan bankrap menetap di kawasan yang dipohon, supaya dokumen ini boleh dieksibitkan dalam permohonan.
Sebaik sahaja permohonan pemindahan fail diterima, pegawai kes akan memfailkan permohonan ke Mahkamah bagi memindahkan fail tersebut ke cawangan MdI yang dipohon. Mahkamah kemudiannya akan menetapkan tarikh pendengaran bagi membuat keputusan berkaitan permohonan tersebut sama ada dibenarkan ataupun tidak.
Sebagai makluman, tempoh untuk pemindahan fail bergantung kepada tarikh pendengaran yang ditetapkan oleh Mahkamah.
Sekiranya dibenarkan, perintah akan dikeluarkan dan cawangan MdI sedia ada akan mengambil tindakan memindahkan fail tersebut ke cawangan MdI yang dipohon.