Perutusan Ketua Pengarah Insolvensi

Image
Image

Salam Sejahtera

Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia, dan rahmatNya saya diberi kekuatan dan kemudahan dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan di Jabatan Insolvensi Malaysia. Sesungguhnya amanah ini bukanlah suatu tanggungjawab yang mudah untuk dilaksanakan.

Sepertimana kita sedia maklum, kita akan melabuh tirai tahun 2019. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh MdI dengan memberikan komitmen sepenuhnya dalam mentadbir insolvensi individu dan insolvensi korporat. MdI berperanan untuk mengimbangi kepentingan-kepentingan pihak-pihak yang terlibat bukan sahaja dalam pentadbiran kebankrapan, syarikat yang digulung, namun dalam pentadbiran kes-kes pertubuhan dan kesatuan sekerja yang dibatalkan pendaftarannya .

Adalah menjadi matlamat MdI untuk memberi perkhidmatan yang cekap secara telus dan mesra pelanggan. Sebagai Ketua Jabatan, saya telah menyampaikan beberapa sesi amanat kepada semua warga jabatan ini dengan memberikan kesedaran dan pentingnya dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Walaupun begitu, jabatan ini juga masih tidak dapat lari dari isu-isu aduan oleh pihak luar. MdI tetap berusaha untuk menyelesaikan isu-isu tersebut dengan lebih berhemah dan semestinya berlandaskan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Tumpuan utama jabatan adalah bagi menyelesaikan kes-kes kebankrapan bagi individu bankrap dan usaha gigih MdI masih diteruskan. MdI amat memerlukan kerjasama individu yang diisytiharkan bankrap kerana tanpa kerjasama ini amatlah sukar untuk MdI mentadbirkan kes kebankrapan sehinggalah selesai. Peluang untuk dilepaskan dari kebankrapan masih ada selagi mana kerjasama dapatkan diberikan sepenuhnya. Usaha MdI dalam memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap kerjasama dan tanggungjawab dalam pentadbiran kebankrapan sentiasa berterusan. MdI melalui 21 Cawangan seringkali terlibat dalam program kesedaran dan taklimat mengenai insolvensi Individu. Saya percaya, dengan adanya kesedaran dan kerjasama penuh ini akan dapat memberikan sedikit ruang yang lebih baik untuk orang ramai, lebih-lebih lagi terhadap individu yang telah diisytiharkan bankrap terhadap pengetahuan mengenai hal-ehwal pentadbiran kes-kes kebankrapan.

Tirai tahun 2020 akan disingkap dan MdI akan terus berusaha melaksanakan amanah dan tugas-tugas dengan lebih efisien. Justeru itu, saya ingin mengajak semua pihak menggembling penuh tenaga dan memainkan peranan untuk mencapai matlamat ini. Di samping itu, adalah menjadi harapan saya agar orang ramai juga dapat memahami peranan dan tugas MdI dengan lebih jelas. Salah satu cara untuk mendapatkan maklumat terkini adalah melalui laman portal dan juga laman rasmi "Facebook" jabatan yang menyediakan maklumat mengenai pelbagai perkara berhubung peranan dan perkhidmatan yang diberikan oleh MdI. Pegawai-pegawai jabatan juga boleh dihubungi sekiranya orang ramai mempunyai pertanyaan lanjut mengenai status kes atau aduan yang dapat membantu kami dalam menjalankan tugas dengan lebih efektif.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua pihak khususnya kepada warga MdI agar bersama-sama memainkan peranan untuk mencapai wawasan menjadikan jabatan terus maju ke hadapan dan mencapai aspirasi Kerajaan.

"MdI Sentiasa Proaktif"

Sekian.

Dato' Anita Binti Harun
KETUA PENGARAH
JABATAN INSOLVENSI MALAYSIA