Kebankrapan Individu

Apa itu Kebankrapan Individu?

Kebankrapan adalah satu proses di mana seorang penghutang itu diisytiharkan sebagai bankrap lanjutan daripada suatu Perintah Kebankrapan yang dibuat di Mahkamah Tinggi terhadap penghutang tersebut atas kegagalan atau ketidakupayaan untuk membayar hutang sekurang-kurangnya RM100,000.00.

Siapakah penghutang?

Penghutang dalam konteks Akta Kebankrapan merujuk kepada individu yang tertakluk di bawah bidangkuasa mahkamah di bawah seksyen 3(3) Akta Insolvensi 1967 yang pada masa tindakan kebankrapan telah dibuat:

  • Telah hadir sendiri di Malaysia; atau
  • Biasanya telah tinggal atau telah mempunyai suatu tempat kediaman di Malaysia; atau
  • Telah menjalankan perniagaan dalam Malaysia sama ada sendiri atau dengan cara seorang ejen; atau
  • Telah menjadi seorang ahli sebuah firma atau perkongsian yang telah menjalankan perniagaan dalam Malaysia.

Bagaimanakah seseorang itu boleh diisytiharkan bankrap?

Mahkamah Tinggi akan mengeluarkan suatu Perintah Penerimaan dan Perintah Kebankrapan terhadap seseorang individu selepas suatu Petisyen Kebankrapan dikemukakan. Petisyen Kebankrapan ini dikemukakan di mahkamah melalui dua (2) cara:

Petisyen Pemiutang.

Suatu Petisyen Pemiutang hanya boleh dikemukakan setelah suatu tindakan kebankrapan dilakukan oleh penghutang dalam tempoh enam (6) bulan sebelum tarikh pengemukaan petisyen. Selain itu, penghutang tersebut hendaklah:

      • Tinggal di Malaysia; atau
      • Dalam tempoh satu tahun sebelum tarikh pengemukaan, petisyen:
        • Telah tinggal di Malaysia; atau
        • Telah mempunyai sebuah rumah kediaman di Malaysia; atau
        • Telah mempunyai tempat perniagaan di Malaysia; atau
        • Telah menjalankan perniagaan sendiri atau melalui ejen di Malaysia; atau
        • Telah dalam tempoh yang sama menjadi seorang ahli sebuah firma atau perkongsian yang telah menjalankan perniagaan dalam Malaysia dengan cara seorang pekongsi atau pekongsi-pekongsi atau seorang ejen atau pengurus.

Petisyen Pemiutang dikemukakan apabila penghutang berhutangan dengan pemiutang pempetisyen tidak kurang dari RM100,000.00

Petisyen Penghutang.

Suatu Petisyen Penghutang merupakan satu tindakan kebankrapan. Petisyen Penghutang ini difailkan atau dikemukakan oleh penghutang itu sendiri yang menjadikan dirinya seorang bankrap bagi melindungi dirinya dari tuntutan pemiutang yang berlebihan. Berlainan dengan Petisyen Pemiutang, tiada sebarang had atau jumlah hutang yang disyaratkan sebelum memfailkan Petisyen Penghutang. Selepas mengemukakan Petisyen Penghutang, ianya tidak boleh ditarik balik kecuali dengan kebenaran mahkamah.

Petisyen ini (Borang 3, Kaedah-Kaedah Kebankrapan 1969) hendaklah difailkan di Mahkamah di mana penghutang tersebut tinggal. Sebelum Petisyen tersebut difailkan, penghutang mestilah mendepositkan sejumlah RM1,500.00 kepada KPI bagi tujuan menampung segala perbelanjaan sepanjang pentadbiran kes oleh KPI. Mahkamah hanya akan membenarkan Petisyen tersebut difailkan setelah resit pembayaran deposit yang dikeluarkan oleh KPI dikemukakan. Satu salinan Petisyen Penghutang yang dimeterai kemudian akan dihantar kepada KPI sama ada melalui pos atau sebaliknya. Semasa perbicaraan Petisyen Penghutang, Mahkamah akan membuat satu Perintah Penerimaan serta satu Perintah Penghukuman. Walau bagaimanapun, jika penghutang tidak hadir ke perbicaraan tersebut, Petisyen tersebut boleh dibatalkan.

Perlu diingatkan bahawa kebankrapan adalah satu perkara serius dan seharusnya dijadikan sebagai jalan terakhir. Ini kerana terdapat banyak sekatan yang dikenakan ke atas bankrap seperti sekatan keluar negara, memegang jawatan sebagai pengarah syarikat atau menjalankan perniagaan dan keperluan untuk menyumbang ke dalam estet kebankrapan tanpa gagal untuk faedah pemiutang-pemiutang. Bankrap juga perlu menyerahkan segala hartanya termasuk rumah dan kenderaan. Di samping itu, tiada pelepasan automatik dipraktiskan di negara ini. Bankrap hanya boleh dilepaskan dari kebankrapan oleh Mahkamah atau KPI tetapi ianya tertakluk kepada sebarang bantahan daripada pihak pemiutang.