Peranan Ketua Pengarah Insolvensi

Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia (KPI) merupakan satu jawatan statutori yang diwujudkan di bawah Akta Kebankrapan (Pindaan) 2003 bagi tujuan mentadbir kes-kes kebankrapan di seluruh Malaysia.

KPI juga dikenali dengan nama lainnya iaitu Pegawai Penerima Malaysia yang merupakan satu jawatan statutori yang diwujudkan berdasarkan Akta Syarikat 1965 bagi tujuan mentadbir kes-kes penggulungan syarikat, samada sebagai Pelikuidasi sementara atau Pelikuidasi yang dilantik Mahkamah.

Perlantikan KPI adalah daripada kalangan ahli-ahli perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. KPI dilantik oleh dan juga merupakan pegawai di Jabatan Perdana Menteri. Pada masa yang sama, beliau juga merupakan seorang pegawai Mahkamah. Oleh yang demikian, beliau bertanggungjawab untuk menjalankan perintah-perintah dan arahan-arahan Mahkamah serta memenuhi tanggungjawab berdasarkan undang-undang.

Peranan KPI merangkumi bukan sahaja pentadbiran estet kebankrapan dan penggulungan syarikat, malah memantau kelakuan penghutang.

Tugas-tugas Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia:

Mentadbir dan menyiasat hal ehwal bankrap serta melaporkan salahlaku bankrap

Bertindak sebagai penerima bagi estet penghutang dan pengurus estet sekiranya tiada pengurus khas dilantik

 Membuat laporan berkenaan dengan kelakuan penghutang sebagaimana diarahkan oleh Mahkamah atau sebagaimana yang ditetapkan

Mengambil bahagian dalam pemeriksaan awam penghutang sebagaimana diarahkan Mahkamah

Mengambil bahagian dan memberi bantuan sebagaimana diarahkan oleh Pendakwa Raya berkenaan dengan pendakwaan mana-mana penghutang fraud atau mana-mana orang lain yang dituduh dengan suatu kesalahan di bawah Akta Kebankrapan 1967

Mengumpul wang atau memberi kuasa kepada pengurus khas untuk mengumpul wang dalam mana-mana kes untuk kepentingan pemiutang-pemiutang jika didapati perlu berbuat demikian

Memanggil dan mempengerusikan semua mesyuarat pemiutang-pemiutang yang diadakan di bawah Akta Kebankrapan 1967

Melaporkan kepada pemiutang-pemiutang apa-apa cadangan yang dibuat oleh penghutang berkenaan dengan penyelesaian hal ehwalnya

Mengeluarkan borang-borang proksi untuk digunakan di mesyuarat pemiutang-pemiutang

Mengiklankan perintah penerimaan, tarikh pemeriksaan awam dan perkara-perakara lain sebagaimana diperlukan untuk diiklankan