Galeri Foto

Photo Gallery

MESYUARAT PEMANTAPAN MANUAL PROSEDUR KERJA (MPK) KEBANKRAPAN

11-14 Ogos 2025

Bahagian Kebankrapan, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) telah menganjurkan Mesyuarat Pemantapan Manual Prosedur Kerja (MPK) Kebankrapan selama empat hari bagi menyelaras pelaksanaan prosedur kerja kebankrapan secara menyeluruh dan bersepadu pada 11 hingga 14 Ogos 2025.
Mesyuarat ini bertujuan memantapkan pelaksanaan MPK baharu yang dibangunkan susulan pindaan Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] pada tahun 2023. MPK ini merangkumi 23 aktiviti utama pentadbiran kes kebankrapan di semua cawangan dan disediakan selaras dengan hala tuju pelaksanaan Enterprise Architecture (EA) jabatan.
Fokus Utama Mesyuarat:
• Menyeragamkan proses pentadbiran dan pengurusan kes kebankrapan di seluruh cawangan.
• Menyelesaikan isu arahan terdahulu yang tidak lagi selaras dengan MPK baharu.
• Menyokong pelaksanaan proses kerja berintegrasi melibatkan pelbagai bahagian seperti Bahagian Dasar dan Perundangan , Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan, Bahagian Mahkamah, Bahagian Akaun dan Unit Pengurusan Aset Insolvensi (UPAI) agar pentadbiran kes kebankrapan tidak bergerak secara terasing atau berasingan.
• Menggalakkan kerjasama rentas bahagian dalam usaha mewujudkan pentadbiran yang lebih sistematik, cekap dan konsisten.
Mesyuarat ini menghimpunkan Pegawai Insolvensi (PI) seluruh cawangan bersama wakil bahagian yang memainkan peranan penting dalam keseluruhan proses kebankrapan — daripada pentadbiran awal sehinggalah ke fasa pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI).
Pendekatan penglibatan silang bahagian ini mencerminkan usaha bersepadu MdI untuk membangunkan sistem kerja yang efektif dan tidak bergerak secara terasing.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Azwarnida binti Affandi, Timbalan Ketua Pengarah Insolvensi, manakala majlis penutupan turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Ishak bin Bakri, Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia.