Galeri Foto
Photo Gallery
PERHIMPUNAN BULANAN YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI) BAGI BULAN JUN 2024
11 Jun 2024
Perhimpunan Bulanan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) telah berlangsung pada 11 Jun 2024 di Dewan Saksama, Aras 2, Bangunan Hal Ehwal undang-undang, JPM. Majlis dimulakan dengan Nyanyian Lagu Negaraku dan Lafaz Ikrar Rukun Negara oleh Tuan Fazril Sani bin Mohamed Fadzil, Pengarah Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan, Jabatan Insolvensi Malaysia serta Bacaan Doa oleh Tuan Mohd Naieem bin Mohd Sabry.
Majlis diteruskan dengan ucapan oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi). YB Menteri dalam ucapannya menyentuh mengenai Agenda Reformasi Institusi yang merupakan agenda terpenting bagi Kerajaan MADANI dan YAB Perdana Menteri turut mengarahkan pelaksanaan mesyuarat jawatankuasa pelaksanaan Agenda Reformasi bagi memastikan semua perancangan dapat dilaksanakan dengan baik dan dalam waktu yang ditetapkan.
YB Menteri juga merumuskan beberapa usaha dan inisiatif yang telah dijalankan oleh BHEUU antaranya ialah Penganjuran The International Symposium on Empowerment of Children’s Commissions: Strengthening Rights and Safeguarding Futures serta Forum Akta Keupayaan Mental 2024 yang merupakan antara usaha BHEUU bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada pakar dan aktivis masyarakat sebelum sesuatu dasar di bawa ke peringkat seterusnya dan bagi memastikan tahap dan kualiti perundangan adalah relevan dengan keperluan semasa serta setanding dengan negara maju yang lain. BHEUU turut menjadi ‘lead agency’ bagi pelaksanaan Inisiatif Kajian Empirikal Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
YB Menteri kemudian menegaskan mengenai kerjasama strategik bagi semua pihak yang berkepentingan terutamanya dalam perkara yang menjadi perhatian umum antaranya ialah keperluan bagi dasar dan perundang baru berkaitan Keselamatan Digital (Online Safety) yang merupakan kerjasama antara BHEUU dan Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang dijangka akan dibentang pada sidang Parlimen Oktober ini.
YB Menteri pada penghujung ucapannya turut kembali mengingatkan peranan BHEUU terutamanya bagi menyahut seruan YAB Perdana Menteri mengenai Agenda Reformasi Institusi dan BHEUU berupaya untuk meninggalkan legasi agar negara ini menjadi negara yang dihormati di peringkat antarabangsa dan juga menjadi tulang belakang bagi perubahan yang dibuat demi kemajuan dan kelestarian negara pada masa akan datang.
Agenda majlis diteruskan dengan Peluncuran Sistem Permohonan Ke Luar Negara oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) yang telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said dan sesi tayangan montaj berkaitan Sistem Permohonan Ke Luar Negara menjadi penutup bagi majlis pada hari ini.
Turut hadir adalah YB Tuan M. Kula Segaran, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Zamri bin Misman, Ketua Pengarah BHEUU; YBhg. Dato’ Norazmi bin Mohd Narawi, Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman / Legal Aid Department; YBrs. Tuan M. Bakri Bin Abd Majid, Ketua Pengarah Insolvensi; YA Puan Yong Zarida binti Sazali, Pengerusi Lembaga Penasihat (LP); YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid, Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan (BP); YBhg. Prof. Dato’ Noor Aziah binti Mohd Awal, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia SUHAKAM (Human Rights Commission of Malaysia); YBhg. Datuk Professor Sundra Rajoo, Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asian International Arbitration Centre; YBrs. Puan Noramilia bin Mohd Saad, Pengurus Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK); YBrs. Tuan Harith Sham bin Mohamed Yasin, Timbalan Ketua Pengarah Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP).