Galeri Foto

Photo Gallery

PROGRAM LITERASI KEWANGAN PERINGKAT IPTA/IPTS ANJURAN JABATAN INSOLVENSI MALAYSIA (MDI) NEGERI MELAKA DAN JABATAN INSOLVENSI MALAYSIA NEGERI SEMBILAN

19 Januari 2026

Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) Negeri Melaka dan Jabatan Insolvensi Malaysia Negeri Sembilan telah menganjurkan Program Literasi Kewangan Peringkat IPTA/IPTS bersama Politeknik Merlimau Melaka pada 19 Januari 2026 (Isnin).
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Ishak bin Bakri, Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia.
Pengisian utama program ialah sesi Bicara Literasi Kewangan bertajuk “Cart Penuh, Poket Menipis: Realiti BNPL” yang memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai pengurusan kewangan berhemah, risiko pembelian secara bayaran tertangguh serta kepentingan membuat keputusan kewangan yang bijak.
Sesi bual bicara ini telah dikendalikan oleh Tuan Mohamad Hafisol bin Yusoff, Pengarah Insolvensi, Bahagian Dasar dan Perundangan, Jabatan Insolvensi Malaysia Ibu Pejabat.
Program ini telah disertai oleh kira-kira 1,200 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Politeknik Merlimau Melaka, Politeknik Port Dickson serta pelajar politeknik dari Negeri Sembilan.
Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Ishak bin Bakri menegaskan bahawa kegagalan mengurus kewangan pada peringkat awal boleh mengakibatkan beban hutang yang bukan sahaja menjejaskan potensi kerjaya, malah memberi kesan terhadap kesejahteraan mental dan emosi.
Beliau turut menyatakan bahawa para pelajar institusi pengajian tinggi hari ini merupakan tonggak masa depan negara, justeru perlu diperkasakan dengan ilmu, disiplin dan etika kewangan yang kukuh sebelum melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan dewasa yang lebih mencabar.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Jabatan Insolvensi Malaysia dalam memperkukuh literasi kewangan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi, sejajar dengan usaha pencegahan kebankrapan melalui pendidikan dan kesedaran awal.
Jabatan Insolvensi Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah Insolvensi Negeri Melaka dan Pengarah Insolvensi Negeri Sembilan, rakan kolaborasi strategik serta barisan urus setia atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan penganjuran program ini.
#jabataninsolvensimalaysia
#literasikewanganmdi
#uuri
#MdIMelaka
#MdINegeriSembilan