Galeri Foto

Photo Gallery

MAJLIS AMANAT KETUA PENGARAH INSOLVENSI 2026

30 Januari 2026

Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) telah menganjurkan Majlis Amanat Ketua Pengarah Insolvensi 2026 pada 30 Januari 2026 bagi menyampaikan hala tuju Jabatan serta menyatukan komitmen warga kerja dalam menghadapi tahun pelaksanaan yang kritikal. Majlis ini menghimpunkan barisan Pengurusan Tertinggi dan kakitangan MdI dari seluruh cawangan.
Dalam amanatnya, Ketua Pengarah Insolvensi menekankan pembinaan budaya kerja yang positif, profesional dan berteraskan kepercayaan serta kerja berpasukan. Beliau turut menegaskan bahawa tahun 2026 menuntut fokus, disiplin dan tindakan yang lebih terancang bagi memastikan pelaksanaan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) dan perancangan Jabatan mencapai hasil yang dihasratkan.
Beliau juga menegaskan bahawa integriti kekal sebagai asas perkhidmatan dengan amalan toleransi sifar terhadap sebarang pelanggaran. Menurut beliau, “integriti bukan sekadar pematuhan kepada peraturan, tetapi soal amanah, nilai diri dan maruah organisasi”. Sehubungan itu, warga MdI digesa terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah serta memelihara kepercayaan masyarakat.
Sejurus selesai majlis, sesi Townhall Ketua Pengarah Insolvensi bersama kakitangan MdI telah diadakan sebagai platform komunikasi dua hala bagi membincangkan isu semasa serta perkara berkaitan pelaksanaan tugas jabatan.
Pihak Jabatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada urus setia atas komitmen, dedikasi serta pengurusan majlis yang cekap sehingga program ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.