Galeri Foto
Photo Gallery
MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU 2025 YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)
7 Januari 2025
PUTRAJAYA, 7 Januari 2025 – Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) telah berlangsung pada 7 Januari 2025 bertempat di Laman Hijau, Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang, JPM. Majlis pada hari ini dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lafaz ikrar Rukun Negara, bacaan doa dan tayangan multimedia: Imbasan Pencapaian UURI Tahun 2024.
Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Amanat Tahun Baharu 2025 oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi). Amanat yang disampaikan pada hari ini menyentuh mengenai keseluruhan pencapaian Agenda Reformasi Institusi dan Undang-Undang yang telah dikecapi sepanjang tahun 2024 serta hala tuju bagi tahun 2025. YB Menteri turut menzahirkan penghargaan atas segala pengorbanan pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan/ Agensi yang terlibat dalam merealisasikan kejayaan tersebut. YB Dato’ Sri turut menekankan kepentingan memperkasa tatakelola dalam usaha penambahbaikan perkhidmatan awam dan juga prestasi cemerlang sebagai asas bagi memacu negara ke arah masa depan perundangan yang lebih gemilang.
Majlis turut berkesempatan bagi menyambut ulang tahun kelahiran YB Dato’ Sri Azalina Othman Said pada tanggal 31 Disember yang lalu bersama-sama warga yang hadir pada hari ini dengan upacara memotong kek di samping Ketua Pengarah BHEUU. Seluruh warga kerja UURI mendoakan semoga YB Dato’ Sri sentiasa dipermudahkan segala urusan dan diberikan keberkatan usia hendaknya.
Turut hadir adalah YBhg. Datuk Zamri bin Misman, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, YBhg. Datuk Zamri bin Haji Bakar, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, YBhg. Dato’ Anita binti Harun, Ketua Pengerusi Lembaga Penasihat, YBhg. Dato’ Norazmi bin Mohd Narawi, Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, YBhg. Datuk M. Bakri Bin Abd Majid, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, YBrs. Tuan Rushan Lutfi Bin Mohamed, Ketua Pengarah Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), YBrs. Tuan Khairul Anwar Bin Zakaria @ Abdul Hamid, Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, YBhg. Datuk Almalena Sharmila, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), YBrs. Cik Siti Altaf Deviyati Binti Ismail, Setiausaha Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), YBrs. Encik Nurakmal Farhan Bin Aziz, Wakil Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).