Galeri Foto
Photo Gallery
BENGKEL PEMERKASAAN TINDAKAN AMBIL MILIKAN, GELEDAH DAN SITAAN DI BAWAH AKTA INSOLVENSI 1967
8-10 September 2025
Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Insolvensi Malaysia Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Tindakan Ambil Milikan, Geledah dan Sitaan di Bawah Akta Insolvensi 1967 pada 8 – 10 September 2025, melibatkan penyertaan seramai 65 orang peserta dari seluruh cawangan MdI di Malaysia.
Bengkel ini dirangka khusus bagi memperkukuh kefahaman undang-undang serta memberi pendedahan menyeluruh berkaitan kuasa dan had tindakan ambil milikan, penggeledahan dan penyitaan. Pada masa yang sama, ia turut memantapkan kemahiran teknikal serta operasi pegawai MdI agar pelaksanaan tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan secara profesional, sah di sisi undang-undang, dan mematuhi Prosedur Piawai Operasi (SOP).
Selain itu, bengkel ini menekankan aspek hak asasi, prinsip keadilan, ketelusan dan integriti untuk memastikan setiap tindakan yang diambil memelihara kepentingan pihak berkepentingan serta mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa. Dengan penguasaan kemahiran yang dipertingkatkan, pegawai diharap dapat melaksanakan pengesanan, ambil milikan serta penyitaan aset dengan lebih cekap dan berstrategi, sekaligus mempercepatkan penyelesaian kes kebankrapan di bawah pentadbiran MdI.
Majlis penutupan bengkel pada 10 September 2025 telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Azwarnida binti Affandi, Timbalan Ketua Pengarah Insolvensi. Turut hadir, YBrs. Encik Fazril Sani bin Mohamed Fadzil, Pengarah Insolvensi Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan.
Dengan inisiatif ini, Jabatan Insolvensi Malaysia komited melahirkan pegawai yang berkemahiran dan berintegriti, seiring usaha menjadikan MdI sebuah agensi kerajaan yang progresif dan cekap.