Galeri Foto
Photo Gallery
KETUA PENGARAH HADIRI PERASMIAN PEJABAT SATELIT JBG PENGERANG
13 JUN 2026
13 Jun 2026- YBhg. Dato’ Ishak bin Bakri, Ketua Pengarah Insolvensi telah menghadiri Majlis Perasmian Pejabat Satelit Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Pengerang yang disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Kehadiran beliau mencerminkan sokongan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) terhadap usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan perundangan kepada rakyat serta kerjasama erat antara agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam memastikan akses kepada keadilan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Penubuhan Pejabat Satelit JBG Pengerang merupakan satu inisiatif kerajaan bagi membawa perkhidmatan bantuan guaman lebih dekat kepada penduduk setempat, khususnya di kawasan Pengerang dan sekitarnya. Melalui kemudahan ini, masyarakat tidak lagi perlu menempuh perjalanan yang jauh untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan guaman, sekali gus menjimatkan masa serta kos.
Dalam ucapan perasmian, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said menekankan bahawa perkhidmatan keadilan perlu hadir mendekati rakyat, terutama golongan yang berdepan kekangan jarak, kos dan masa untuk mendapatkan bantuan perundangan.

