Galeri Foto
Photo Gallery
PELANCARAN KARNIVAL JELAJAH DASAR PELUANG KEDUA INSOLVENSI 2026
15 JUN 2026
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said telah melancarkan Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 dalam satu sidang media yang diadakan di Putrajaya pada 15 Jun 2026.
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa Kerajaan MADANI percaya setiap individu berhak diberikan peluang untuk bangkit semula selepas berdepan kegagalan kewangan. Beliau berkata kegagalan bukanlah penamat kehidupan, sebaliknya boleh menjadi titik permulaan kepada satu perjalanan baharu yang lebih baik.
“Karnival ini bukan sekadar platform hebahan. Fokus kami adalah untuk turun padang memberi kefahaman jelas tentang Dasar Peluang Kedua, pelepasan kebankrapan, dan inisiatif Fast Track, selain menyediakan khidmat nasihat kewangan secara bersemuka,” jelas beliau.
Menyentuh soal persepsi, beliau turut menyeru masyarakat agar mengikis stigma negatif terhadap individu bankrap. Tegas beliau, golongan ini tidak wajar dipinggirkan, sebaliknya perlu dibimbing agar mereka mampu memulakan kehidupan baharu dengan lebih yakin.
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk institusi kewangan, majikan, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat umum agar bersama-sama menyokong usaha pemulihan individu yang terkesan dengan kebankrapan demi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat Dasar Peluang Kedua.
Sebagai makluman, program ini merupakan siri jelajah ke enam zon utama iaitu Putrajaya, Johor Bahru, Kuantan, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, dan Kuching, bagi memastikan perkhidmatan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) lebih mudah diakses oleh orang ramai di seluruh negara.

