Galeri Foto
Photo Gallery
PROGRAM MDI OPEN DAY MDI JOHOR DAN PELUNCURAN SEKOLAH ANGKAT MADANI 2026
13 JUN 2026
13 Jun 2026 – Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) Negeri Johor telah menganjurkan MdI Open Day 2026 yang berlangsung di Dewan Kejora, Bandar Penawar, Johor. Program tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ishak bin Bakri, Ketua Pengarah Insolvensi.
MdI Open Day merupakan inisiatif jabatan untuk mendekatkan MdI dengan masyarakat melalui penyampaian maklumat, khidmat nasihat dan pendedahan mengenai pengurusan kebankrapan, pelepasan kebankrapan serta pelbagai kemudahan yang disediakan kepada orang ramai.
Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Ishak bin Bakri berkata program tersebut membuka ruang interaksi secara langsung antara MdI dan masyarakat, sekali gus membantu meningkatkan kesedaran kewangan serta pemahaman orang ramai mengenai fungsi dan peranan jabatan. Beliau turut menegaskan bahawa setiap individu wajar diberikan peluang kedua untuk bangkit semula dan membina kehidupan yang lebih stabil serta produktif.
Sementara itu, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said dalam ucapan perasmiannya menyifatkan program berkenaan sebagai platform penting untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. Beliau turut menekankan bahawa masyarakat perlu memanfaatkan peluang yang disediakan bagi mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan sokongan yang dapat membantu meningkatkan kesejahteraan hidup.
Program turut diserikan dengan peluncuran Sekolah Angkat MADANI MdI iaitu Sekolah Kebangsaan (Felda) Air Tawar 4 serta pelaksanaan Program Shopee Rai Lokal Jelajah Komuniti yang memberi pendedahan berkaitan keusahawanan dan ekonomi digital kepada masyarakat setempat.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen MdI dalam menyampaikan perkhidmatan yang lebih mesra rakyat, meningkatkan kesedaran kewangan serta menyokong aspirasi Dasar Peluang Kedua demi kesejahteraan masyarakat.
Â

