Galeri Foto
Photo Gallery
PENYERTAAN JABATAN INSOLVENSI MALAYSIA DI WORLD JUDICIAL INTEGRITY FORUM 2026
13 MEI 2026
Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) terus memperkukuh imejnya di peringkat global melalui penyertaan Tn. Nik Syahril Nik Ab Rahman, Pengarah Insolvensi (Bahagian Dasar dan Perundangan) sebagai ahli panel dalam World Judicial Integrity Forum pada 13 Mei 2026.
Forum antarabangsa anjuran International Strategy Institute yang berlangsung di Universiti Rangsit, Bangkok ini telah menghimpunkan pakar perundangan dan delegasi dari pelbagai negara bagi membincangkan isu berkaitan integriti kehakiman, tadbir urus, serta kerjasama rentas sempadan dalam mendepani cabaran ekonomi global semasa.
Dalam forum tersebut, Tn. Nik Syahril telah membentangkan kertas kerja bertajuk“𝐈𝐧𝐬𝐨𝐥𝐯𝐞𝐧𝐜𝐲 𝐑𝐞𝐟𝐨𝐫𝐦 𝐢𝐧 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚: 𝐂𝐫𝐨𝐬𝐬-𝐁𝐨𝐫𝐝𝐞𝐫 𝐂𝐨𝐨𝐩𝐞𝐫𝐚𝐭𝐢𝐨𝐧, 𝐉𝐮𝐝𝐢𝐜𝐢𝐚𝐥 𝐈𝐧𝐭𝐞𝐠𝐫𝐢𝐭𝐲 𝐚𝐧𝐝 𝐄𝐜𝐨𝐧𝐨𝐦𝐢𝐜 𝐑𝐞𝐬𝐢𝐥𝐢𝐞𝐧𝐜𝐞”.
Pembentangan tersebut mengetengahkan komitmen jitu Malaysia dalam melaksanakan transformasi undang-undang dan dasar insolvensi negara agar tampil lebih progresif, responsif, dan berdaya tahan.
Antara pengisian utama yang dikongsikan termasuklah keberkesanan pelaksanaan Dasar Peluang Kedua (DPK) melalui inisiatif DPK Fast-Track, serta penguatkuasaan Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 [Akta 877]. Instrumen perundangan baharu ini amat signifikan dalam memperkukuh kerjasama perundangan antarabangsa, sekali gus berupaya meningkatkan keyakinan pelabur luar terhadap ekosistem ekonomi dan kehakiman Malaysia.
Sesi pembentangan tersebut telah berjaya menarik perhatian dan minat yang mendalam daripada ahli panel serta peserta antarabangsa, khususnya terhadap pendekatan holistik Malaysia dalam memperkasa reformasi insolvensi melalui tadbir urus yang telus dan kecekapan pentadbiran. Kesemua inisiatif pembaharuan ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat manfaat menerusi sistem pentadbiran insolvensi yang cekap, berkesan, dan inklusif, di samping menyokong agenda pemulihan ekonomi serta kesejahteraan sosial negara.

