Galeri Foto
Photo Gallery
KUNJUNGAN HORMAT TIMBALAN KETUA PENGARAH INSOLVENSI KEPADA TYT YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK
19 OKTOBER 2026
KUCHING, 19 Oktober 2026 – YBrs. Tuan Abu Bakar bin Manat, Timbalan Ketua Pengarah Insolvensi yang turut menjalankan tugas Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Fauziah binti Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya, Kuching.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan barisan pengurusan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) di samping membincangkan perkembangan semasa berkaitan pengurusan insolvensi negara, khususnya pelaksanaan Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 (Akta 877), Dasar Peluang Kedua serta cadangan kenaikan nilai ambang kebankrapan daripada RM100,000 kepada RM150,000 mulai tahun 2027 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2027.
Dalam pertemuan tersebut, TYT Tun Pehin Sri turut berkongsi pengalaman beliau dalam usaha pembaharuan undang-undang insolvensi ketika berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang). Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan yang seimbang antara penguatkuasaan undang-undang dengan usaha membantu individu yang menghadapi masalah kewangan agar berpeluang memulihkan kedudukan kewangan dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Turut hadir ialah Puan Fajrul Shihar binti Abu Samah, Pengarah Insolvensi, Bahagian Kebankrapan; Puan Adibah Husna binti Zainal Abidin, Pengarah Insolvensi Negeri Sarawak; Encik Muhamad Syah Azlan bin Abdullah, Pegawai Khas I kepada Ketua Pengarah Insolvensi merangkap Ketua Unit Komunikasi Korporat; serta Encik Romzan bin Bujang, Pegawai Khas II kepada Ketua Pengarah Insolvensi merangkap Ketua Unit, Seksyen Kajian dan Perundangan, Bahagian Dasar dan Perundangan.
Jabatan Insolvensi Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan YABhg. Toh Puan menerima kunjungan hormat ini serta atas pandangan dan nasihat yang diberikan dalam usaha menambah baik pengurusan insolvensi negara.
Foto: Astana Sarawak
Â

