Galeri Foto
Photo Gallery
LAWATAN KERJA RASMI YBHG. DATO’ KETUA PENGARAH INSOLVENSI KE JABATAN INSOLVENSI MALAYSIA (MDI) CAWANGAN JOHOR BAHRU
22 MEI 2026
Siri lawatan kerja rasmi YBhg. Dato’ Ishak bin Bakri, Ketua Pengarah Insolvensi diteruskan ke Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) Cawangan Johor Bahru pada 22 Mei 2026 bagi meninjau pelaksanaan operasi, penyampaian perkhidmatan serta perkembangan semasa pentadbiran kes di peringkat cawangan.
Dalam lawatan tersebut, YBhg. Dato’ Ketua Pengarah Insolvensi telah diberikan taklimat oleh Puan Sharifah Maleeha binti Syed Hussin, Pengarah Insolvensi Negeri Johor berhubung prestasi operasi cawangan, pengurusan kes serta isu dan cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan tugas harian.
Beliau turut meluangkan masa meninjau ruang pejabat dan kemudahan operasi di MdI Johor Bahru serta beramah mesra bersama warga kerja bagi mendapatkan gambaran secara langsung mengenai pelaksanaan fungsi dan perkhidmatan jabatan di peringkat cawangan.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan bahawa tugas warga MdI amat signifikan kerana berurusan secara langsung dengan individu yang sedang berdepan kesukaran kewangan dan cabaran kehidupan. Sehubungan itu, beliau menyeru agar setiap pegawai terus memberikan perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan penuh keprihatinan dalam membantu mereka mendapatkan peluang untuk membina semula kehidupan yang lebih baik.
Beliau turut menekankan agar pelaksanaan Dasar Peluang Kedua (DPK) khususnya inisiatif Pelepasan “Fast Track” terus diberi perhatian bagi memastikan manfaatnya dapat disampaikan kepada golongan sasar yang layak.

