Galeri Foto
Photo Gallery
SENI, POPULARITI DAN SURVIVAL KEWANGAN: MEMPERKASA INDUSTRI KREATIF MELALUI DASAR PELUANG KEDUA
5 OKTOBER 2026
Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menganjurkan program “Seni, Populariti dan Survival Kewangan: Memperkasa Industri Kreatif Melalui Dasar Peluang Kedua” pada 5 Oktober 2026 bertempat di Dewan Auditorium, Asian International Arbitration Centre (AIAC), Kuala Lumpur.
Program tersebut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang menyampaikan ucaptama. Turut hadir YBrs. Tuan Abu Bakar bin Manat, Timbalan Ketua Pengarah Insolvensi; YBhg. Dato’ Dr Gerald Hans Isaac, Pengerusi FINAS; dan YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Azalina menekankan kepentingan ilmu dan celik kewangan dalam membantu penggiat industri kreatif menghadapi cabaran pendapatan yang tidak menentu serta risiko masalah kewangan. Beliau turut menyeru penggiat seni yang berdepan masalah kewangan atau kebankrapan agar mendapatkan bimbingan daripada MdI dan memanfaatkan peluang kedua untuk kembali bangkit.
Antara pengisian utama program ialah sesi forum yang dikendalikan oleh YBrs. Tuan Roslizi bin Sulaiman, Timbalan Pengarah Bahagian Kebankrapan MdI selaku pengantara. Ahli panel terdiri daripada YBrs. Puan Fajrul Shihar binti Abu Samah, Pengarah Insolvensi Bahagian Kebankrapan MdI; YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS; dan YBrs. Puan Nirmala a/p M. Supramaniam, Ketua Jabatan, Jabatan Pendidikan Kewangan Sektor Isi Rumah, AKPK.
Program turut menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan Asian International Arbitration Centre (AIAC).
Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran penggiat industri kreatif mengenai kepentingan pengurusan kewangan serta saluran bantuan yang tersedia, di samping memberi ruang kepada mereka yang berdepan masalah kewangan atau kebankrapan untuk mendapatkan bimbingan dan memanfaatkan peluang kedua bagi meneruskan kerjaya serta kehidupan dengan lebih baik.

