SOALAN LAZIM

DASAR PELUANG KEDUA (DPK)
Termasuk DPK 3.0 – Pelepasan "Fast Track" 2026

Apakah Dasar Peluang Kedua (DPK)?

DPK ialah inisiatif Kerajaan Malaysia MADANI di bawah prinsip Rukun Ihsan bagi memberi peluang kepada individu bankrap untuk mendapatkan pelepasan dan memulakan kehidupan baharu.

Bilakah DPK diumumkan?

DPK diumumkan pada Oktober 2023 semasa pembentangan Bajet 2024.

Siapakah yang melaksanakan dasar ini?

Dasar ini dilaksanakan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).

Apakah objektif utama DPK?

Memberi peluang kedua kepada bankrap, mengurangkan kes tertunggak dan memastikan rakyat tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi.

Apakah DPK 3.0 – Fast Track?

DPK 3.0 Fast Track ialah inisiatif khas tahun 2026 yang memberi keutamaan kepada kategori tertentu untuk dipertimbangkan pelepasan kebankrapan dengan lebih cepat.

Siapakah yang layak dipertimbangkan di bawah Fast Track?

Ibu/bapa tunggal, peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mangsa scam dan pembeli rumah projek terbengkalai.

Apakah dua prasyarat utama Fast Track?

Kes telah ditadbir sekurang-kurangnya lima (5) tahun dan tiada siasatan atau prosiding mahkamah.

Adakah Fast Track bermaksud pelepasan automatik?

Tidak. Pelepasan masih tertakluk kepada semakan kelayakan dan bantahan oleh pemiutang.

Apakah maksud ibu atau bapa tunggal dalam konteks Fast Track?

Individu yang menanggung anak secara bersendirian tanpa pasangan.

Adakah semua mangsa scam layak secara automatik?

Tidak. Tertakluk kepada prasyarat dan semakan kes.

Bagaimanakah cara memohon Fast Track?

Permohonan dibuat secara dalam talian melalui Portal Rasmi MdI dan sistem e- Insolvensi.

Bagaimanakah keputusan dimaklumkan?

Melalui notifikasi e-mel secara real time.

Berapa lama tempoh pemprosesan?

Sekiranya tiada bantahan dimasukkan oleh pemiutang, permohonan boleh diproses dalam tempoh 36 hari. Sekiranya terdapat kuiri yang perlu diselesaikan oleh pemohon, permohonan boleh diproses dalam masa 39 hari.

Jika permohonan ditolak, bolehkah memohon semula?

Tidak. Namun, pemohon boleh membuat permohonan pelepasan secara manual dengan mengisi borang pelepasan di bawah Sijil Ketua Pengarah Insolvensi yang disediakan di cawangan atau membuat permohonan secara bertulis melalui surat atau e-mel ke cawangan yang mentadbir kes. Permohonan ini akan diproses mengikut penggiliran permohonan di cawangan, mengikut prosedur dan tempoh masa standard tanpa sebarang keutamaan.

Bolehkah wakil membuat permohonan bagi pihak bankrap?

Permohonan hendaklah dibuat oleh individu bankrap melalui sistem yang disediakan.

Adakah permohonan boleh dibuat secara manual?

Tidak. Permohonan hanya dibuat secara dalam talian melalui portal e-Insolvensi.

Di manakah maklumat lanjut boleh diperoleh?

Melalui Portal Rasmi Jabatan Insolvensi Malaysia atau saluran rasmi jabatan.