SOALAN LAZIM

KEBANKRAPAN

Apakah fungsi Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI)?

Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) berperanan untuk mentadbir hal ehwal individu yang telah diisytiharkan bankrap mengikut peruntukan di bawah Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] dan Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017.

Antara fungsi utama MdI termasuk:

Menzahir dan menghasilkan harta individu bankrap;

Menentusahkan tuntutan hutang yang difailkan oleh para pemiutang; dan

Mengagihkan hasil yang diperoleh daripada aset bankrap kepada pemiutang, mengikut keutamaan yang ditetapkan oleh undang-undang.

Apakah yang dimaksudkan dengan kebankrapan?

Kebankrapan merujuk kepada keadaan di mana seseorang individu atau entiti perniagaan tidak mampu membayar hutang-hutang yang ditanggungnya. Dalam konteks undang-undang Malaysia, proses kebankrapan melibatkan tindakan undang-undang yang diambil oleh pemiutang atau penghutang sendiri, yang membawa kepada perintah mahkamah yang mengisytiharkan individu atau entiti tersebut sebagai bankrap. Setelah diisytiharkan bankrap, harta dan aset individu atau entiti tersebut akan diuruskan oleh Ketua Pengarah Insolvensi bagi tujuan pembayaran hutang kepada pemiutang.

Apakah jumlah minimum hutang yang perlu ditanggung oleh seseorang individu untuk membolehkan mereka diisytiharkan bankrap?

Jumlah minimum hutang yang perlu ditanggung oleh seseorang individu untuk diisytiharkan bankrap di Malaysia ialah RM100,000, seperti yang ditetapkan di bawah Akta Insolvensi 1967.

Apakah prosedur bagi seseorang individu untuk diisytiharkan bankrap?

Anda hanya boleh diisytiharkan bankrap melalui Perintah Mahkamah. Terdapat dua kaedah utama bagaimana perintah kebankrapan boleh diberikan:

Petisyen Pemiutang
Pemiutang (pihak yang memberikan pinjaman) boleh memfailkan petisyen kebankrapan terhadap anda sekiranya anda gagal melunaskan hutang yang mencapai atau melebihi RM100,000.

Petisyen Penghutang (Secara Sukarela)
Anda sendiri boleh memfailkan petisyen di mahkamah untuk diisytiharkan bankrap.

Adakah kemungkinan seseorang individu diisytiharkan bankrap tanpa pengetahuannya?

Ya, seseorang individu boleh diisytiharkan bankrap tanpa pengetahuannya. Ini mungkin berlaku dalam situasi berikut:

Alamat Tidak Dikemaskini: Dokumen undang-undang dihantar ke alamat lama kerana individu tidak mengemas kini maklumat terkini dengan pemiutang.

Tidak Hadir Ke Mahkamah: Individu tidak hadir semasa kes kebankrapan disebut di mahkamah.

Enggan Menerima Dokumen: Individu enggan menerima atau membuka dokumen undang-undang yang dihantar ke alamat mereka.

Penyampaian Ganti: Apabila dokumen tidak dapat disampaikan secara kediri, mahkamah boleh memerintahkan penyampaian ganti, contohnya melalui iklan di akhbar. Sekiranya individu tidak membaca akhbar tersebut, mereka mungkin tidak menyedari bahawa perintah kebankrapan telah dikeluarkan terhadap mereka.

Oleh itu, adalah penting untuk memastikan maklumat peribadi sentiasa dikemas kini dengan pihak berkaitan dan memberi perhatian kepada sebarang dokumen undang-undang yang diterima.

Bagaimana saya boleh menyemak status kebankrapan saya?

Anda boleh menyemak status kebankrapan melalui tiga kaedah berikut:

Secara Dalam Talian (Online):
Layari portal https://e-insolvensi.mdi.gov.my/
Klik pada pautan "Semakan Status Kebankrapan".
Masukkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan untuk melakukan semakan.

Menggunakan Aplikasi Mudah Alih (Mobile Apps):
Anda boleh menyemak status kebankrapan menggunakan aplikasi e-Insolvensi yang dibangunkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Muat Turun Aplikasi:
Untuk pengguna Android: Google Play Store.
Untuk pengguna iOS: Apple App Store.
Langkah Semakan:

Buka aplikasi dan log masuk atau daftar sebagai pengguna baharu.
Pilih menu "Carian Status Kebankrapan Individu".
Masukkan nombor kad pengenalan untuk melakukan semakan.


Nota: Setiap carian dikenakan bayaran sebanyak RM10.00.

Bolehkah seseorang individu mengisytiharkan dirinya sendiri sebagai bankrap jika tidak mampu membayar hutang?

Ya, seseorang individu boleh memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan dirinya sebagai bankrap melalui proses yang dikenali sebagai Petisyen Penghutang seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7 Akta Insolvensi 1967 dan Kaedah 102(1) Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017.

Prosedur Memfailkan Petisyen Penghutang:

(1) Penyediaan Dokumen:
Sediakan dokumen sokongan seperti senarai hutang, penyata kewangan, dan dokumen lain yang relevan.

(2) Deposit RM1,500.00:
Penghutang perlu mendepositkan sejumlah RM1,500.00 kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) untuk menampung kos pentadbiran kes.

(3)Pemfailan di Mahkamah Tinggi:
Failkan Petisyen Penghutang di Mahkamah Tinggi yang berkaitan dengan menyertakan dokumen dan resit pembayaran deposit.

(4) Pendengaran di Mahkamah:
Hadir pada tarikh pendengaran yang ditetapkan mahkamah. Jika mahkamah menerima petisyen tersebut, Perintah Kebankrapan akan dikeluarkan.

Adakah Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) boleh mengisytiharkan seseorang individu sebagai bankrap?

Tidak, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan seseorang individu sebagai bankrap. Hanya Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Perintah Kebankrapan setelah menerima permohonan daripada pemiutang atau individu itu sendiri (Petisyen Penghutang).

MdI bertindak sebagai pihak yang menguruskan dan mentadbir kes kebankrapan setelah seseorang diisytiharkan bankrap oleh mahkamah.

Apakah langkah yang perlu diambil selepas saya diisytiharkan bankrap?

Setelah diisytiharkan bankrap, anda perlu mengambil langkah-langkah berikut:

Hadir ke cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) yang mentadbir kes anda:
Segera kunjungi cawangan MdI di negeri di mana perintah kebankrapan dikeluarkan terhadap anda. Di sana, anda dikehendaki memberikan kerjasama penuh dan mendedahkan segala maklumat berkaitan pendapatan kepada Pegawai Insolvensi. Pegawai tersebut akan membantu anda dalam pengisian borang-borang yang berkaitan.

Apakah tanggungjawab seseorang individu yang telah diisytiharkan bankrap?

Setelah diisytiharkan bankrap, individu tersebut mempunyai tanggungjawab-tanggungjawab berikut:

(1) Segera hadir ke Jabatan Insolvensi Malaysia yang mentadbir kes kebankrapan anda untuk memberikan kerjasama penuh dalam proses pentadbiran kebankrapan.

(2)Menyerahkan Maklumat Aset dan Liabiliti: Sediakan dan serahkan maklumat lengkap mengenai aset, liabiliti, transaksi kewangan, dan harta yang dimiliki kepada KPI.

(3) Mengemukakan Penyata Hal Ehwal (PHE): Lengkapkan dan serahkan PHE kepada KPI.

(4) Mengemukakan Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan: Setiap enam bulan, serahkan penyata pendapatan dan perbelanjaan kepada KPI untuk memantau keadaan kewangan semasa.

(5) Membuat Sumbangan kepada Estet Kebankrapan sebagai usaha penyelesaian hutang.

(6) dilarang menerima sebarang pemberian wang/kredit sebanyak RM1,000.00 atau lebih daripada mana-mana pihak tanpa memaklumkan pihak tersebut status beliau sebagai seorang bankrap

(7) Tidak Membuat Pembayaran Terus kepada Pemiutang: Elakkan membuat pembayaran terus kepada pemiutang; semua pembayaran hendaklah melalui KPI.

(8) Memaklumkan Perubahan Maklumat Peribadi: Segera maklumkan kepada KPI sebarang perubahan nama, alamat, nombor telefon, pendapatan, harta, atau maklumat lain yang berkaitan.

(9) Memberi Maklum Balas kepada sebarang pertanyaan atau arahan daripada KPI dalam tempoh masa yang ditetapkan.

(10) Menghadiri Mesyuarat Pemiutang

Apakah sekatan dan kelayakan yang hilang setelah seseorang diisytiharkan bankrap?

Setelah diisytiharkan bankrap, seseorang individu akan kehilangan kelayakan untuk:

(1) Memegang Jawatan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri berdasarkan Perkara 48(1)(b) Perlembagaan Malaysia;

(2) Memegang jawatan sebagai Penjawat Awam {Tertakluk kepada keputusan Lembaga Tatatertib Jabatan);

(3) memegang sebarang jawatan dalam mana-mana badan berkanun, koperasi berdaftar atau organisasi;

(4) mengamalkan profesion tertentu;

(5) menjalankan perniagaan secara persendirian atau perkongsian atau menubuhkan syarikat;

(6) bekerja dalam perniagaan saudara;

(7) memulakan atau mengekalkan apa-apa tindakan mahkamah tanpa sanksi KPI selain daripada tindakan untuk ganti rugi dalam kecederaan kepada orang lain;

(8) meninggalkan Malaysia tanpa kebenaran KPI atau mahkamah;

(9) apa-apa wang atau ganjaran yang diterima oleh bankrap hendaklah terletak hak kepada KPI untuk dibahagikan kepada pemiutang (tertakluk kepada budi bicara KPI); dan

(10) Menguatkuasakan haknya di bawah undang-undang tertentu

Adakah individu yang diisytiharkan bankrap boleh memohon pengurangan jumlah hutang daripada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI)?

Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) tidak mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah hutang yang telah difailkan oleh pemiutang.

Sekiranya individu yang diisytiharkan bankrap ingin mendapatkan pengurangan jumlah hutang bagi tujuan penyelesaian penuh, mereka perlu berunding secara langsung dengan pemiutang atau institusi kewangan yang berkenaan.

Jika pemiutang bersetuju untuk mengurangkan jumlah hutang, pembayaran hendaklah dibuat kepada KPI berdasarkan jumlah yang telah dipersetujui. KPI kemudian akan mengisytiharkan dividen kepada pemiutang sesuai dengan jumlah pembayaran tersebut.

Adakah individu yang diisytiharkan bankrap dibenarkan membuat bayaran terus kepada pemiutang?

Tidak, individu yang diisytiharkan bankrap tidak dibenarkan membuat pembayaran terus kepada pemiutang untuk melangsaikan hutang mereka.

Semua pembayaran mesti disalurkan melalui Ketua Pengarah Insolvensi (KPI). Pembayaran yang dibuat akan dikreditkan ke dalam akaun estet bankrap dan seterusnya diagihkan kepada pemiutang yang telah memfailkan bukti hutang serta telah diperakui oleh KPI

Adakah individu yang diisytiharkan bankrap dibenarkan membuka atau menggunakan akaun simpanan sedia ada?

Setelah diisytiharkan bankrap, akaun bank sedia ada anda akan ditutup dan semua transaksi akan disekat. Namun, anda boleh memohon kebenaran daripada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) untuk: (1) Membuka Akaun Bank Baharu: Untuk tujuan seperti penerimaan gaji atau keperluan munasabah lain. (2) Mengaktifkan Semula Akaun Sedia Ada: Jika diperlukan untuk transaksi tertentu seperti kemasukan gaji.

Permohonan hendaklah dibuat di cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) yang mengendalikan kes kebankrapan anda. Kebenaran daripada KPI diperlukan sebelum sebarang akaun baharu dibuka atau akaun sedia ada diaktifkan semula.

Adakah individu yang diisytiharkan bankrap dibenarkan memindahkan harta miliknya?

Tidak, individu yang telah diisytiharkan bankrap tidak dibenarkan memindahkan harta miliknya kepada pihak ketiga selepas Perintah Kebankrapan dibuat.

Selepas diisytiharkan bankrap, semua harta dan aset individu tersebut secara automatik terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) untuk tujuan pentadbiran dan penyelesaian hutang kepada pemiutang.

Adakah individu yang diisytiharkan bankrap dibenarkan menguruskan hartanya sendiri?

Tidak, individu yang diisytiharkan bankrap tidak dibenarkan menguruskan hartanya sendiri. Menurut Seksyen 8(1)(b) Akta Insolvensi 1967, semua aset dan harta bankrap yang tidak bercagar terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI).

Oleh itu, sebarang transaksi atau urusan penjualan harta bankrap hanya boleh dilakukan melalui KPI, kecuali bagi hartanah di bawah Rezab Melayu, di mana bankrap mempunyai kuasa untuk menghasilkan hartanah tersebut dan hasil jualan hendaklah diserahkan kepada KPI.

Bagi harta bercagar, bankrap perlu berurusan dengan pemegang gadaian sendiri. Bankrap juga dilarang untuk memasuki apa-apa urusan atau transaksi yang melibatkan pinjaman kewangan dan penjualan.

Apakah yang akan terjadi kepada harta individu selepas diisytiharkan bankrap?

Setelah seseorang diisytiharkan bankrap, semua harta miliknya akan terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) untuk tujuan pentadbiran dan pembayaran hutang kepada pemiutang.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa jenis harta yang dikecualikan daripada pembahagian kepada pemiutang berdasarkan pindaan terkini Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 [Akta A1695]:

(1) Alatan bekerja: Harta yang digunakan untuk tujuan pekerjaan atau pendapatan harian, dengan had nilai tidak melebihi RM20,000;

(2) Keperluan asas: Barangan peribadi dan rumah tangga yang diperlukan untuk kehidupan seharian, dengan had nilai tidak melebihi RM10,000. Had nilai ini dinyatakan dalam Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017 dan boleh disemak serta dinaikkan oleh Menteri mengikut keadaan ekonomi semasa.

Harta lain yang tidak termasuk dalam pengecualian akan diuruskan oleh KPI untuk tujuan pembayaran hutang kepada pemiutang.

Adakah pemiutang mempunyai hak untuk menyita aset individu selepas diisytiharkan bankrap?

Setelah seseorang individu diisytiharkan bankrap, pemiutang tidak bercagar tidak dibenarkan mengambil tindakan lanjut untuk mendapatkan hutang yang ditanggung sebelum Perintah Kebankrapan dijatuhkan.

Mereka juga tidak mempunyai kuasa untuk menguruskan harta bankrap. Sekiranya pemiutang tidak bercagar ingin meneruskan tindakan undang-undang terhadap bankrap, mereka perlu mendapatkan kebenaran mahkamah dan memfailkan bukti hutang mereka.

Sebaliknya, pemiutang bercagar mempunyai hak untuk menguruskan dan menghasilkan harta bankrap di bawah Seksyen 8(2) Akta Insolvensi 1967. Mereka berhak mendapat faedah jika harta tersebut dihasilkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh Perintah Kebankrapan. Lebihan hasil jualan hendaklah diserahkan kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) untuk dikreditkan ke dalam estet bankrap bagi tujuan pengagihan kepada pemiutang lain.

Secara ringkas, pemiutang tidak bercagar tidak boleh menyita aset anda selepas anda diisytiharkan bankrap tanpa kebenaran mahkamah, manakala pemiutang bercagar mempunyai hak tertentu terhadap harta yang dijadikan cagaran.

Adakah individu yang diisytiharkan bankrap dibenarkan memohon pinjaman peribadi /bank?

Seorang individu yang telah diisytiharkan bankrap hanya dibenarkan membuat pinjaman peribadi atau bank sehingga jumlah maksimum RM1,000.

Jika ingin memohon pinjaman melebihi jumlah tersebut, individu tersebut wajib memaklumkan pihak pemberi pinjaman mengenai status kebankrapannya. Kegagalan berbuat demikian dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Akta Insolvensi 1967

Apakah risiko yang dihadapi oleh institusi kewangan jika memberikan pinjaman kepada individu yang diisytiharkan bankrap?

Institusi kewangan yang mempertimbangkan untuk memberikan pinjaman kepada individu yang telah diisytiharkan bankrap perlu sedar bahawa mereka menanggung risiko sepenuhnya jika peminjam gagal membayar balik pinjaman tersebut.

Sekiranya pemberi pinjaman menyedari status kebankrapan peminjam dan tetap meluluskan pinjaman, mereka bertanggungjawab sepenuhnya atas sebarang kegagalan pembayaran balik oleh peminjam.

Adakah individu yang diisytiharkan bankrap dibenarkan untuk keluar negara?

Secara umum, individu yang telah diisytiharkan bankrap tidak dibenarkan keluar dari Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI).

Sekatan ini dikenakan di bawah Seksyen 38(1)(c) Akta Insolvensi 1967 [Akta 360], yang memperuntukkan bahawa seseorang bankrap dilarang meninggalkan Malaysia melainkan dengan kebenaran bertulis KPI atau Mahkamah.

Walau bagaimanapun, individu bankrap boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran keluar negara melalui:

🔹 Portal e-Insolvensi di https://e-insolvensi.mdi.gov.my, atau

🔹 Hadir ke cawangan MdI yang mentadbir kes kebankrapannya.

📌 Permohonan akan dipertimbangkan berdasarkan alasan yang kukuh seperti urusan pekerjaan, rawatan perubatan, ibadah, atau hal peribadi yang munasabah.

📌 Kelulusan adalah tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) serta rekod pematuhan individu terhadap tanggungjawabnya sebagai bankrap.

Seterusnya