SOALAN LAZIM

KEBANKRAPAN

Apakah kesan kebankrapan terhadap pekerjaan semasa atau prospek kerjaya pada masa hadapan?

Kebankrapan tidak menghalang anda daripada bekerja. Anda masih boleh meneruskan pekerjaan semasa atau mendapatkan pekerjaan baharu. Namun, adalah penting untuk menyemak terma dan syarat dalam kontrak pekerjaan anda, kerana sesetengah majikan mungkin memerlukan anda memaklumkan status kebankrapan.

Bagi profesion tertentu seperti peguam, akauntan, pelikuidasi, juru ukur kuantiti atau pengarah syarikat, terdapat sekatan tambahan yang dikenakan oleh persatuan profesional atau pihak berkuasa pelesenan. Oleh itu, adalah penting untuk merujuk kepada badan profesional yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sekatan yang mungkin dikenakan.

Secara keseluruhan, kesan kebankrapan terhadap pekerjaan anda bergantung kepada terma kontrak pekerjaan dan peraturan profesion yang anda ceburi. Adalah disarankan untuk mendapatkan nasihat lanjut daripada pihak yang berkenaan untuk memahami implikasi sepenuhnya.

Adakah individu yang diisytiharkan bankrap boleh terus memegang jawatan sebagai pengarah syarikat?

Seorang individu yang telah diisytiharkan bankrap dan belum dilepaskan akan kehilangan kelayakan untuk menjalankan tugas sebagai pengarah syarikat.

Untuk mengekalkan jawatan tersebut, individu tersebut perlu membuat permohonan kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) atau mahkamah. Tanpa kebenaran ini, individu yang bankrap juga dilarang daripada:

(a) Bekerja di syarikat milik pasangan, anak, atau saudara-mara.
(b) Menjalankan perniagaan pemilikan tunggal.

Apakah prosedur untuk memindahkan fail kebankrapan ke cawangan Jabatan Insolvensi yang lain?

Untuk memohon pemindahan fail kebankrapan ke cawangan lain, anda perlu:

(a) Mengemukakan permohonan bertulis kepada cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) yang kini mengendalikan kes anda.
(b) Menyertakan dokumen sokongan yang membuktikan anda kini menetap di kawasan cawangan MdI yang diinginkan.

Setelah permohonan diterima, pegawai kes akan memfailkan permohonan ke mahkamah untuk memindahkan fail tersebut ke cawangan MdI yang dipohon.

Mahkamah akan menetapkan tarikh pendengaran bagi membuat keputusan sama ada permohonan tersebut dibenarkan atau tidak. Tempoh pemindahan fail bergantung kepada tarikh pendengaran yang ditetapkan oleh mahkamah. Jika permohonan diluluskan, perintah akan dikeluarkan, dan MdI akan memindahkan fail tersebut ke cawangan yang dipohon.

Apakah perbezaan antara pembatalan Perintah Kebankrapan dan pelepasan daripada kebankrapan?

Pembatalan Perintah Kebankrapan merujuk kepada penamatan perintah tersebut, menjadikan status anda seolah-olah tidak pernah dibankrapkan.

Sebaliknya, Pelepasan Perintah Kebankrapan melepaskan anda daripada semua hutang yang boleh dibuktikan dalam tempoh kebankrapan, kecuali hutang kepada Kerajaan, Negeri, Peguam Negara berkaitan bon jaminan, dan hutang yang disebabkan oleh penipuan atau pecah amanah

Adakah terdapat proses pelepasan automatik bagi individu yang diisytiharkan bankrap?

Ya, terdapat pelepasan automatik bagi individu yang diisytiharkan bankrap di bawah Seksyen 33C Akta Insolvensi 1967.

Melalui pindaan Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 [Akta A1695], pelepasan automatik boleh berlaku setelah 3 tahun dari tarikh penyerahan Penyata Hal Ehwal (PHE), dengan syarat bankrap memenuhi kriteria berikut:

(a)Menyerahkan Penyata Hal Ehwal (PHE) di bawah Seksyen 16 Akta Insolvensi 1967.
(b)Membuat bayaran yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) untuk pentadbiran estet kebankrapan mengikut kemampuan kewangan.
(c) Mengemukakan penyata pendapatan dan perbelanjaan setiap 6 bulan sepanjang tempoh pentadbiran.

Sekiranya bankrap gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, pelepasan automatik boleh digantung oleh KPI atau mahkamah untuk tempoh sehingga 2 tahun.

Pelepasan automatik tidak melepaskan bankrap daripada hutang berkanun seperti hutang kepada Kerajaan atau tuntutan berkaitan penipuan dan pecah amanah

Apakah cara atau kaedah untuk seseorang individu keluar daripada status kebankrapan?

Terdapat 4 kaedah untuk seseorang bankrap keluar daripada status kebankrapannya iaitu:

1. Pelepasan Secara Automatik Melalui Seksyen 33C Akta Insolvensi 1967, bankrap layak untuk pelepasan automatik selepas 3 tahun dari tarikh menyerahkan Penyata Hal Ehwal (PHE) dengan syarat:

(a) Bankrap telah membuat bayaran yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) mengikut kemampuan kewangan;

(b)Bankrap menghantar penyata pendapatan dan perbelanjaan setiap 6 bulan;

(c) Memberi kerjasama kepada MdI.

KPI atau mahkamah boleh menggantung pelepasan automatik sehingga 2 tahun jika syarat tidak dipenuhi.

2. Pelepasan Melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) di bawah seksyen 33A Akta Insolvensi 1967

Bankrap boleh memohon untuk pelepasan melalui Sijil Pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) jika suatu tempoh 5 tahun telah tamat dari tarikh perintah kebankrapan. Antara faktor yang diberi pertimbangan oleh KPI ialah alasan permohonan, peratusan dividen yang boleh dibayar, kerjasama dan sikap bankrap sepanjang pentadbiran kes dan kepentingan pihak pemiutang.

6 kategori individu yang layak mendapat pelepasan tanpa bantahan pemiutang seperti yang berikut :

(a) Bankrap merupakan Penjamin sosial;
(b) Bankrap yang didaftarkan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU);
(c) bankrap yang telah meninggal dunia;
(d) bankrap yang mengidap penyakit serius yang telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan;
(e) Bankrap yang tidak boleh mengurus diri dan hal ehwalnya disebabkan sakit mental berdasarkan perakuan pakar psikiatri hospital Kerajaan;
(f) Bankrap yang berusia 70 tahun dan ke atas yang pada pendapat dan pertimbangan budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi bankrap tidak berupaya untuk menyumbang kepada estet kebankrapan.

3. Pelepasan Melalui Perintah Mahkamah di bawah seksyen 33 Akta Insolvensi 1967; Permohonan ini difailkan oleh bankrap pada bila-bila masa ke mahkamah selepas perintah kebankrapan. Mahkamah akan meneliti laporan KPI mengenai sikap dan kelakuan bankrap sepanjang tempoh pentadbiran kebankrapan. Mahkamah juga akan membuat keputusan sama ada untuk memutuskan pelepasan mutlak, pelepasan bersyarat atau pun menolak permohonan pelepasan.

4. Pembatalan Perintah Kebankrapan Bankrap boleh memohon pembatalan Perintah Kebankrapan di mahkamah jika:

(a) Hutang telah dijelaskan sepenuhnya termasuk fi dan kos pentadbiran kes; atau
(b) Perintah kebankrapan dibuat berdasarkan fakta atau prosedur yang tidak betul.

Pelepasan melalui Sijil Ketua pengarah Insolvensi di bawah Seksyen 33A AKta Insolvensi 1967 [AKTA 360] bagi kategori bankrap dengan hutang berskala kecil

Bilakah tarikh kuat kuasa pelaksanaan pelepasan kebankrapan bagi kes hutang berskala kecil?

Ya, seseorang individu boleh memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan dirinya sebagai bankrap melalui proses yang dikenali sebagai Petisyen Penghutang seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7 Akta Insolvensi 1967 dan Kaedah 102(1) Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017.

Prosedur Memfailkan Petisyen Penghutang:

(1) Penyediaan Dokumen:
Sediakan dokumen sokongan seperti senarai hutang, penyata kewangan, dan dokumen lain yang relevan.

(2) Deposit RM1,500.00:
Penghutang perlu mendepositkan sejumlah RM1,500.00 kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) untuk menampung kos pentadbiran kes.

(3) Pemfailan di Mahkamah Tinggi:
Failkan Petisyen Penghutang di Mahkamah Tinggi yang berkaitan dengan menyertakan dokumen dan resit pembayaran deposit.

(4) Pendengaran di Mahkamah:
Hadir pada tarikh pendengaran yang ditetapkan mahkamah. Jika mahkamah menerima petisyen tersebut, Perintah Kebankrapan akan dikeluarkan.

Apakah yang dimaksudkan dengan kategori hutang berskala kecil?

Kategori hutang berskala kecil merujuk kepada jumlah tuntutan hutang yang telah diperakukan sebanyak RM50,000 dan ke bawah.

Apakah peruntukan undang-undang yang terlibat bagi pelepasan ini?

Proses pelepasan kebankrapan ini dilaksanakan di bawah Seksyen 33A Akta Insolvensi 1967 [Akta 360]. Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) mempunyai budi bicara untuk memberikan pelepasan kepada individu bankrap yang memenuhi syarat yang ditetapkan, dengan mengeluarkan Sijil Pelepasan (Sijil KPI).

Siapakah individu bankrap yang boleh dipertimbangkan untuk pelepasan di bawah inisiatif ini?

KPI akan memberikan pertimbangan kepada individu bankrap yang memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Tempoh kebankrapan telah melebihi lima (5) tahun dari tarikh Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman / Perintah Kebankrapan dikeluarkan;

2.Jumlah hutang yang diperakukan atau baki hutang yang terlibat tidak melebihi RM50,000.00; dan

3.Bankrap memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dalam pentadbiran kebankrapan, termasuklah mengemukakan maklumat dan dokumen yang diperlukan oleh Pegawai Insolvensi.

Pelepasan adalah tertakluk kepada budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) berdasarkan penilaian terhadap pematuhan syarat-syarat di atas.

Apakah perkara yang boleh menghalang seseorang bankrap daripada dilepaskan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi (KPI)?

1. Bankrap tidak memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dalam urusan pentadbiran kebankrapan;

2. Gagal mengemukakan maklumat atau dokumen yang diminta oleh Pegawai Insolvensi;

3. Terdapat perintah Mahkamah atau prosiding Mahkamah yang sedang berjalan terhadap individu bankrap atau pentadbiran kebankrapan di bawah Akta Insolvensi 1967 [Akta 360];

4. Terdapat tindakan atau prosiding penyiasatan yang sedang dijalankan ke atas individu bankrap di bawah Akta 360; dan

5. Individu bankrap sedang disiasat berkaitan kesalahan penipuan, pecah amanah, atau pelanggaran peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan kes kebankrapan.

Setiap permohonan akan dinilai berdasarkan merit dan keadaan kes, dan keputusan pelepasan adalah tertakluk kepada budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi.

Sekiranya seseorang bankrap tidak pernah hadir atau berhubung dengan cawangan yang mentadbir kes kebankrapannya, adakah individu tersebut masih layak untuk memohon pelepasan?

Bankrap masih layak untuk memohon pelepasan. Namun begitu, individu tersebut hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), termasuk mengemukakan maklumat dan dokumen yang diperlukan agar Pegawai Insolvensi dapat menjalankan pentadbiran kebankrapan dan memproses permohonan pelepasan dengan sewajarnya.

Bagaimanakah seseorang bankrap boleh mendapatkan maklumat berkaitan jumlah hutang dan menyemak status kes kebankrapannya?

Individu bankrap boleh mendapatkan maklumat tersebut dengan menghubungi atau hadir sendiri ke cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) yang mentadbir kes kebankrapannya. Permohonan maklumat juga boleh dibuat melalui surat rasmi atau emel kepada cawangan berkenaan.

Maklumat lanjut mengenai lokasi dan emel cawangan boleh didapati di laman web rasmi MdI: www.mdi.gov.my.

Bagaimanakah seseorang bankrap boleh memohon pelepasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi (Seksyen 33A)?

Bankrap boleh memohon pelepasan dengan mengikuti langkah berikut:

1. Mengemukakan permohonan secara fizikal atau melalui surat/emel kepada cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) yang mentadbir kes kebankrapan; atau
2. Mengisi Borang Permohonan Pelepasan Sijil Ketua Pengarah Insolvensi di bawah Seksyen 33A Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] yang boleh dimuat turun melalui laman web rasmi MdI: www.mdi.gov.my.
3. Borang permohonan yang lengkap hendaklah diserahkan ke cawangan yang mentadbir kes.

Selepas permohonan diterima:

1. Pegawai Insolvensi akan menyemak permohonan, dokumen pentadbiran, dan maklumat yang berkaitan dengan kes kebankrapan.
2. Bankrap hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya, termasuk mengemukakan maklumat dan dokumen yang diminta untuk tujuan pemprosesan permohonan pelepasan.

Apakah prosedur yang terlibat setelah seseorang bankrap membuat permohonan pelepasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi (Seksyen 33A)?

Setelah permohonan diterima, prosedur yang akan diambil adalah seperti berikut:

1. Pegawai Insolvensi akan menyemak kedudukan kes kebankrapan, termasuk memastikan semua dokumen dan maklumat berkaitan pentadbiran kebankrapan adalah lengkap dan teratur.

2. Jika syarat dipenuhi, Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) akan mengeluarkan notis niat untuk pelepasan kepada semua pemiutang yang terlibat.

3. Pemiutang diberi tempoh tertentu untuk menyatakan sebarang bantahan, kecuali bagi kategori bankrap yang layak dilepaskan tanpa bantahan di bawah Seksyen 33B(2A) Akta 360.

4. Sekiranya tiada bantahan atau bantahan yang dikemukakan tidak berasas kukuh, KPI boleh mengeluarkan Sijil Pelepasan kepada bankrap berkenaan.

Adakah pihak pemiutang boleh membantah kepada pelepasan?

Ya, pihak pemiutang boleh membantah niat Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) untuk melepaskan seseorang bankrap melalui Sijil Pelepasan (Sijil KPI), kecuali jika bankrap tergolong dalam kategori khas yang dikecualikan daripada bantahan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 33B(2A) Akta Insolvensi 1967, iaitu:

1. Penjamin sosial

2. Orang Kelainan Upaya (OKU)

3. Individu yang telah meninggal dunia

4. Individu yang menghidap penyakit serius

5. Individu mengalami sakit mental

6. Individu berumur 70 tahun ke atas yang tidak berupaya menyumbang kepada estet kebankrapan

Pemiutang boleh mengemukakan bantahan secara bertulis kepada KPI dalam tempoh 21 hari daripada tarikh notis niat pelepasan disampaikan. Sekiranya tiada bantahan dikemukakan dalam tempoh tersebut atau bantahan yang diterima tidak berasas, KPI boleh mengeluarkan Sijil Pelepasan kepada individu bankrap.

Apakah yang akan berlaku sekiranya terdapat bantahan yang dikemukakan oleh pihak pemiutang terhadap pelepasan bankrap melalui Sijil KPI?

Sekiranya terdapat bantahan daripada pihak pemiutang terhadap notis niat pelepasan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Insolvensi (KPI), prosedur berikut akan diambil:

1. KPI akan meneliti dan membuat keputusan terhadap bantahan yang dikemukakan oleh pemiutang serta memaklumkan keputusan tersebut kepada pihak pemiutang.

2. Sekiranya bantahan tersebut ditolak oleh KPI, pemiutang masih boleh meneruskan bantahan dengan mengemukakan permohonan ke Mahkamah dalam tempoh 21 hari dari tarikh pemakluman keputusan KPI.

3. Mahkamah akan membuat keputusan selepas mendengar hujahan pihak-pihak yang terlibat, sama ada:

a) Menolak bantahan pemiutang dan membenarkan pelepasan bankrap melalui Sijil KPI; atau
b) Mengeluarkan perintah bahawa Sijil Pelepasan tidak boleh dikeluarkan, sekurang-kurangnya dalam tempoh dua (2) tahun dari tarikh perintah tersebut.

Keputusan akhir adalah tertakluk kepada budi bicara Mahkamah berdasarkan merit kes.

Apakah yang akan berlaku sekiranya tiada bantahan dikemukakan oleh pihak pemiutang terhadap pelepasan melalui Sijil KPI?

Sekiranya tiada bantahan dikemukakan oleh pemiutang dalam tempoh yang ditetapkan, proses pelepasan akan diteruskan dan:

1. Bankrap akan dilepaskan daripada kebankrapan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi (KPI).

2. Walaupun telah dilepaskan, bankrap masih mempunyai tanggungjawab untuk memberikan kerjasama kepada KPI sekiranya pentadbiran kebankrapan masih belum selesai, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 35A Akta Insolvensi 1967 [Akta 360].

3. Pelepasan tidak membebaskan bankrap daripada hutang kepada Kerajaan, Kerajaan Negeri, atau agensi yang berkaitan, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 35 Akta 360.

Oleh itu, pelepasan melalui Sijil KPI membebaskan bankrap daripada kebankrapan secara undang-undang, tetapi masih tertakluk kepada beberapa tanggungjawab dan pengecualian tertentu.

Berikut adalah senarai alamat emel Unit Pelepasan bagi cawangan-cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI):​

Sebelumnya