A
Afidavit
Satu perisytiharaan bertulis sukarela fakta-fakta di bawah sumpah di hadapan seorang yang secara sah diberi kuasa untuk mengambil sumpah seperti Pesuruhjaya Sumpah dan Notari Awam.
Akaun Estet Bankrap
Rekod dan penyata akaun bankrap yang memperincikan jumlah duit yang diterima dan dibayar.
Ansuran
Setiap bankrap yang menerima suatu pendapatan atau gaji dikehendaki mengisi satu senarai pendapatan dan perbelanjaannya. Ketua Pengarah Insolvensi akan menilai sama ada bankrap mampu membayar sesuatu lebihan pendapatan atau gaji secara ansuran bulanan untuk dibayar kepada pemiutang-pemiutangnya sepanjang tempoh kebankrapannya.
B
Bailif
Seorang pegawai mahkamah yang diberi kuasa oleh perintah mahkamah untuk bertindak bagi pihak mana-mana pemiutang atau orang lain untuk menguatkuasa perintah atau penghakiman mahkamah melalui mana-mana cara pelaksanaan seperti writ sitaan dan jualan di mana harta penghutang akan disita dan dijual.
Bankrap
Seseorang yang diisytihar oleh mahkamah melalui perintah penghukuman sebagai tidak berupaya untuk membayar hutang-hutangnya kepada pemiutangnya.
Bidang Kuasa
Merujuk kepada kuasa Mahkamah yang diperuntukkan oleh undang-undang untuk membuat perintah penerimaan, perintah penghukuman, perintah penggulungan dan apa-apa arahan yang berkaitan dengan perkara dalam prosiding kebankrapan dan penggulungan syarikat.
Bon Ganti Rugi
Merujuk kepada dokumen bertulis yang ditandatangani oleh pemohon di hadapan pesuruhjaya sumpah bagi menuntut bayaran balik deposit tanpa resit asal.
Bon Jaminan
Suatu jaminan atau janji oleh suatu pihak untuk menerima tanggungjawab bagi memastikan seseorang bankrap mematuhi apa-apa syarat yang dikenakan oleh Ketua Pengarah Insolvensi atau mahkamah.
Bukti Hutang
Satu tuntutan bertulis pemiutang untuk menyatakan butiran hutang yang didakwa, digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen, jika diterima oleh pemegang amanah.
D
Dividen
Pembayaran oleh pentadbir kes kebankrapan dan penggulungan syarikat selepas jualan semua harta bankrap atau syarikat digulung untuk menyelesaikan semua tuntutan pemiutang.
E
Eksibit / Barang kes
Satu bukti fizikal atau dokumen yang dikemukakan di Mahkamah semasa perbicaraan melalui saksi atau afidavit bagi menyokong keterangan lisan atau bertulis.
Estet
Aset atau harta milik bankrap yang diterima dan terletak hak pada Ketua Pengarah Insolvensi atau milik syarikat digulung yang diambil milikan dan dikawal oleh Pegawai Penerima dan pelikuidasi atau pelikuidasi yang diluluskan bagi tujuan penghasilan dan bayaran kepada pemiutang-pemiutang.
Ex-Parte
Dari satu pihak sahaja
F
Faedah
Kadar bunga tidak melebihi enam peratus setahun boleh dikenakan dalam prosiding kebankrapan.
G
Gadaian Sah
Hak sesebuah organisasi meminjamkan wang yang ada untuk mengambil harta seseorang yang tidak membayar balik wang yang dipinjam untuk membeli harta itu.
J
JUJA
Merujuk kepada suatu jawatankuasa yang dinamakan sebagai ‘Jawatankuasa Unit Jualan Aset’, yang beroperasi di Jabatan Insolvensi Malaysia, Putrajaya.Jawatankuasa ini dibentuk bagi memberikan khidmat nasihat kepada Ketua Pengarah Insolvensi dalam melupuskan aset bankrap atau syarikat digulung.
K
Kebankrapan
Keadaan dan status undang-undang tentang seseorang yang tidak boleh membayar semula hutang yang terhutang kepada pemiutang-pemiutangnya.
Kertas Pertanyaan
Kertas siasatan awal yang hanya mengandungi latar belakang dan fakta kes.
Kertas Pertuduhan
Satu dokumen rasmi tentang pertuduhan disediakan dan dikemukakan oleh suatu agensi penguatkuasaan di mahkamah untuk perbuatan melakukan apa-apa kesalahan.
Kertas Siasatan
Kertas siasatan ialah siri siasatan terperinci tentang topik atau fakta untuk mendedahkan fakta tersembunyi dan maklumat tentangnya. Ini termasuk mana-mana dokumen atau barang kes yang boleh digunakan bagi membuktikan fakta atau kesalahan.
Kes-Kes Penipuan
Kes-kes yang berkaitan dengan kesalahan-kesalahan penipuan.
Ketua Pengarah Insolvensi
Seorang pegawai undang-undang daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang dilantik di bawah subseksyen 70(1) Akta Kebankrapan 1967 untuk menyelia dan mentadbir prosiding kebankrapan dan bertindak sebagai Pegawai Penerima dan pelikuidasi bagi prosiding penggulungan syarikat menurut Bahagian Sepuluh Akta Syarikat 1965.
Komital
Merupakan suatu proses undang-undang untuk menguatkuasa suatu perintah atau penghakiman mahkamah terhadap pihak yang ingkar. Dalam mana mahkamah akan memasukkan orang itu ke tempat kurungan atau penjara. Dalam prosiding kebankrapan, juga disifatkan sebagai suatu tindakan melakukan suatu kesalahan.
M
Mesyuarat Penyumbang
Bagi tujuan prosiding penggulungan syarikat, satu mesyuarat yang dihadiri oleh penyumbang atau pemegang saham dan pelikuidasi.
Mesyuarat Pertama Pemiutang
Bagi tujuan prosiding kebankrapan, satu mesyuarat yang dihadiri oleh pemiutang, penghutang dan Ketua Pengarah Insolvensi manakala bagi prosiding penggulungan syarikat, satu mesyuarat yang dihadiri oleh pemiutang dan pelikuidasi.
P
Pelepasan
Keadaan yang melepaskan bankrap dari sekatan-sekatan yang dikenakan ke atasnya disebabkan perintah kebankrapan dan hutang-hutang yang dibuktikan dalam kebankrapan kecuali hutang-hutang yang berkaitan dengan frod, denda dan hutang kerajaan.
Pemeriksaan Awam
Ia kebiasaannya secara umum dikenali sebagai PE. Ia ialah salah satu cara penyiasatan. PE ialah pemeriksaan lisan terhadap individu bankrap atau pengarah syarikat secara sumpah dalam mahkamah terbuka. Ia boleh diadakan pada bila-bila masa sebelum bankrap dilepaskan atau pembubaran syarikat dalam penggulungan.
Pemiutang
Orang yang memberi wang atau pinjaman kepada penghutang.
Pemiutang Bercagar
Seseorang yang memegang gadai janji, cagaran atau lien ke atas harta penghutang atau sebahagiannya sebagai jaminan untuk hutang terhutang oleh penghutang kepada pemberi hutang tetapi tidak termasuk plaintif dalam tindakan sivil yang menahan harta penghutang sebelum penghakiman diberi.
Pemiutang Keutamaan
Seorang pemiutang tak bercagar dalam satu prosiding kebankrapan dan penggulungan syarikat yang layak / berhak diberi keutamaan untuk menerima bayaran-bayaran tertentu berbanding dengan pemiutang tak bercagar yang lain.
Pemiutang Tidak Bercagar
Seseorang yang memberi pinjaman atau wang tanpa sekuriti.
Penghasilan
Tindakan menukar aset-aset kepada wang tunai dalam kebankrapan atau dalam pembubaran suatu syarikat.
Penghinaan Mahkamah
Ia adalah suatu kelakuan yang menentang atau mengingkari kuasa, keadilan dan martabat mahkamah dan pegawai-pegawainya.
Penipuan
Suatu penipuan dibuat dengan niat untuk keuntungan peribadi atau untuk merugikan individu lain.
Penjamin
Seseorang yang bertanggungjawab untuk hutang atau keingkaran pihak yang satu lagi (penghutang utama)
Penyata Hal Ehwal
Laporan kewangan / nilai bersih aset dan liabiliti bankrap yang antaranya menunjukkan anggaran nilai aset, nama dan alamat penghutang dan jumlah hutang yang dipinjam.
Perintah Pembatalan
Suatu perintah mahkamah yang membatal atau mengenepikan suatu perintah penghukuman dan perintah penerimaan.
Perintah Penerimaan
Satu perintah yang dibuat oleh mahkamah kebankrapan, semasa pendengaran petisyen kebankrapan, ke atas penghutang yang tidak hadir atau, jika penghutang hadir, mempunyai cadangan menyelesaikan hutangnya, melantik Ketua Pengarah Insolvensi sebagai penerima harta bankrap.
Perintah Pengambilan
Suatu perintah mahkamah yang memperuntukkan pengambilan sejumlah wang dari upah atau gaji bankrap untuk bayaran kepada pemiutang.
Perintah Penghukuman
Satu perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah, atas permohonan atau jika penghutang hadir semasa pendengaran petisyen kebankrapan tetapi tiada cadangan penyelesaian hutangnya, mengisytiharkan seorang penghutang sebagai bankrap.
Pesurahjaya Sumpah
Seseorang yang telah sepatutnya dilantik dan diberi kuasa di bawah undang-undang bertulis untuk mentadbirkan sumpah atau mengaku saksi affidavit untuk prosiding mahkamah.
R
Rayuan
Suatu proses di mana seseorang bankrap atau pemiutang atau mana-mana orang yang terjejas dengan tindakan atau keputusan Ketua Pengarah Insolvensi, boleh memohon kepada Mahkamah untuk mengakas atau mengubahsuai tindakan atau keputusan yang diadukan.
S
Sanksi
Setiap bankrap yang belum dilepaskan dikehendaki untuk memperoleh izin bertulis daripada Ketua Pengarah Insolvensi sebelum memulakan atau meneruskan tindakan sivil kecuali melibatkan kecederaan pada diri bankrap.
Sekatan
Setiap bankrap yang belum dilepaskan disekat untuk meninggalkan Malaysia, memasuki atau menjalankan perniagaan sama ada secara sendiri atau dalam perkongsian, menjadi pengarah syarikat, secara langsung atau tidak langsung mengambil bahagian dalam pengurusan mana-mana syarikat dan terlibat dalam pengurusan atau kawalan apa-apa perniagaan atau diambil bekerja oleh pasangannya, adik beradik pasangannya dan zuriat moyang atau cucu cicit pasangannya kecuali dengan kebenaran bertulis Ketua Pengarah Insolvensi atau mahkamah.
Surat Pertama / Memo Panggilan
Surat Pertama ialah pemberitahuan kepada pihak-pihak yang berkepentingan memaklumkan status kebankrapan seseorang. Memo Panggilan ialah pemberitahuan kepada bankrap tentang tugas-tugasnya sebagai seorang bankrap seperti untuk memfailkan satu kenyataan hal ehwal yang memaparkan butir-butir harta dan liabilitinya dan juga nama pemiutang-pemiutangnya.
W
Waran Tangkap
Suatu waran yang dikeluarkan oleh mahkamah yang memberi kuasa tangkapan dan tahanan ke atas seseorang.