Sistem Notifikasi Insolvensi

Sistem Notifikasi Insolvensi
1. Sistem Notifikasi Insolvensi [Insolvency Notification System (INS)] telah dibangunkan bagi tujuan menggantikan surat pertama yang dihantar secara pos (manual) oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) kepada pihak berkepentingan setelah seseorang individu diisytiharkan bankrap atau setelah sesebuah syarikat digulungkan oleh mahkamah. Melalui sistem ini, pihak berkepentingan akan dimaklumkan tentang status kebankrapan seseorang individu dan status penggulungan sesebuah syarikat secara harian. Lanjutan itu, pihak berkepentingan dikehendaki untuk membekalkan maklumat berkaitan akaun individu bankrap dan syarikat yang digulungkan serta menyerahkan baki akaun individu bankrap atau syarikat yang digulungkan kepada Ketua Pengarah Insolvensi bagi kes kebankrapan atau Pegawai Penerima bagi kes penggulungan syarikat. Sejak pelaksanaan INS pada 1 Januari 2014, lebih 30 pihak berkepentingan yang antaranya terdiri daripada pemiutang, institusi kewangan, syarikat pengurusan dana dan agensi kerajaan telah menyertai dan mengguna pakai INS.

2. Bagi mengakses notis berhubung pemakluman awal status kebankrapan dan penggulungan syarikat dalam INS, pihak berkepentingan yang telah menyertai INS perlu log masuk ke dalam portal e-Insolvensi MdI. MdI akan memuatnaik senarai nama individu yang diisytiharkan bankrap dan syarikat yang digulungkan oleh mahkamah dalam tempoh masa 24 jam setelah MdI menerima pemakluman berkenaan Perintah Kebankrapan atau Perintah Penggulungan. Data berhubung senarai individu bankrap dan syarikat digulungkan tersebut akan disiarkan dalam INS selama 14 hari sahaja.

3. Lanjutan daripada paparan notis dalam INS, pihak berkepentingan hendaklah mengemukakan alamat terkini dan maklumat-maklumat berkaitan dengan akaun individu bankrap dan syarikat yang digulungkan melalui e-mel kepada cawangan MdI yang mentadbir kes yang berkenaan menggunakan format yang boleh dimuat turun dalam INS. Selaras dengan subseksyen 55(5) Akta Kebankrapan 1967 / Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] dan subseksyen 233(1) Akta Syarikat 1965 / subseksyen 483(1) Akta Syarikat 2016 [Akta 777], pihak berkepentingan dikehendaki untuk menyerahkan baki wang yang terdapat dalam akaun individu bankrap dan syarikat yang digulungkan kepada Ketua Pengarah Insolvensi bagi kes kebankrapan atau Pegawai Penerima bagi kes penggulungan syarikat. Pihak berkepentingan dipohon untuk melaksanakan tindakan tersebut dalam tempoh masa 7 hari bekerja dari tarikh notis pemakluman status dalam INS.

4. Sebarang cadangan, maklum balas dan permohonan penyertaan berhubung INS boleh disalurkan kepada:

(a) Encik Zamri bin Udin
Bahagian Dasar, Perundangan dan Komunikasi Strategik
No. Telefon: 03-8885 1948

(b) Encik Ebenezer Rajendran Subramaniam
Bahagian Teknologi Maklumat
No. Telefon: 03-8885 1380

(c) Puan Zarina binti Alias
Bahagian Kebankrapan
No. Telefon: 03-8885 1361

(d) Puan Yusnita binti Wagino
Bahagian Likuidasi
No. Telefon: 03-8885 1045

 

Jika anda tidak dapat melihat paparan atau ingin memuat turun manual sistem, sila klik di sini.