KENYATAAN MEDIA KEBENARAN KETUA PENGARAH INSOLVENSI (KPI) UNTUK BANKRAP MENERIMA BANTUAN PRIHATIN NASIONAL (BPN)

download

JABATAN INSOLVENSI MALAYSIA (MdI)


KENYATAAN MEDIA

KEBENARAN KETUA PENGARAH INSOLVENSI (KPI) UNTUK BANKRAP MENERIMA BANTUAN PRIHATIN NASIONAL (BPN)


Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 27 Mac 2020 di mana Kementerian Kewangan telah mengeluarkan satu Siaran Media bertarikh 29 Mac 2020 bagi menjelaskan tentang pelaksanaan dan cara mengakses Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang telah diperuntukkan sebanyak RM10 bilion bagi golongan rakyat yang layak.

Selaras dengan pengumuman berhubung BPN tersebut, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah mengeluarkan Kenyataan Media bertarikh 5 April 2020 bagi memaklumkan berkenaan keputusan Kerajaan bahawa pemohon yang layak menerima BPN tetapi berstatus bankrap, turut boleh membuat permohonan melalui portal rasmi LHDN. Permohonan mereka akan diproses sewajarnya berdasarkan syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) memutuskan untuk membenarkan bankrap menerima BPN yang mengikut syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan oleh LHDN tanpa perlu melaporkan kepada MdI seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 38(1)(ba) Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] di mana jika bankrap gagal berbuat demikian, ia merupakan suatu kesalahan di bawah Akta 360. 

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh disalurkan melalui talian hotline 03 - 8885 1065, 03 - 8885 1928, 03 - 8885 1313.

Laman web                       :         www.mdi.gov.my

E-mel                                :         Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. 

Facebook                          :         www.facebook.com/insolvensi

Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh:

BAHAGIAN DASAR, PERUNDANGAN DAN KOMUNIKASI STRATEGIK

JABATAN INSOLVENSI MALAYSIA (MdI)

PUTRAJAYA

8 April 2020