Peranan ketua pengarah insolvensi malaysia

Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia (KPI) merupakan satu jawatan statutori yang diwujudkan di bawah Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] bagi tujuan mentadbir dan mengurus kes-kes kebankrapan serta turut memegang jawatan lain yang bertindak sebagai Pegawai Penerima Malaysia (PPP) bagi tujuan mentadbir dan mengurus kes-kes penggulungan syarikat serta pertubuhan dan kesatuan sekerja yang dibatalkan pendaftarannya di seluruh Malaysia.

KPI/PPP turut boleh menjalankan apa-apa kuasa yang diberikan oleh Mahkamah dan/atau apa-apa terma sebagaimana yang dikenakan oleh Mahkamah.

Tugas-tugas utama KPI ialah seperti berikut : 

  1. Menyelia dan memantau pentadbiran 21 cawangan pejabat negeri;
  2. Mengeluarkan notifikasi awal kepada institusi kewangan atau agensi-agensi badan berkanun, kerajaan dan swasta yang berkaitan;
  3. Mentadbir dan menyiasat hal ehwal bankrap berdasarkan borang statutori yang dikemukakan oleh bankrap;
  4. Bertindak sebagai Penerima dan Pengurus bagi estet bankrap sekiranya tiada Pengurus Khas dilantik;
  5. Memanggil dan mempengerusi Mesyuarat Pertama Pemiutang atau Mesyuarat Am Pemiutang;
  6. Menghasilkan aset dan harta bankrap bagi tujuan pengagihan dividen kepada pemiutang-pemiutang yang telah memfailkan tuntutan melalui Borang Bukti Hutang;
  7. Memeriksa, memperaku atau menolak sebahagian atau sepenuhnya tuntutan Borang Bukti Hutang;
  8. Mengisytihar dan membayar dividen kepada pemiutang-pemiutang;
  9. Memproses permohonan dan rayuan bankrap berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta 360;
  10. Mempertimbangkan permohonan bankrap berdasarkan kuasa dan budi bicara;
  11. Memastikan bankrap mematuhi syarat-syarat yang diperuntukkan di bawah Akta 360;
  12. Melaporkan kelakuan bankrap sebagaimana diarahkan oleh Mahkamah;
  13. Mengambil bahagian dalam Pemeriksaan Awam bankrap; dan
  14. Mengambil bahagian dan memberi bantuan sebagaimana diarahkan oleh Pendakwa Raya berkenaan dengan pendakwaan mana-mana bankrap melakukan frod atau mana-mana orang lain yang dituduh dengan suatu kesalahan di bawah Akta 360.

Selanjutnya, tugas-tugas utama PPP ialah seperti berikut : 

  1. Mentadbir hal ehwal syarikat yang digulungkan;
  2. Meletakkan dalam jagaannya atau di bawah kawalannya semua harta yang kepadanya syarikat berhak atau didapati berhak;
  3. Menjalankan apa-apa kuasa lain sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Syarikat 1965 [Akta 125] / Akta Syarikat 2016 [Akta 777]; dan
  4. Memantau perlakuan penyelesai diluluskan mengenai pentadbiran hal ehwal syarikat yang digulungkan oleh mahkamah.