29. Bagaimana seorang bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapannya?

Terdapat 4 kaedah untuk seseorang bankrap dilepaskan daripada kebankrapannya iaitu:

(a) Perintah Pembatalan di bawah seksyen 105 Akta Insolvensi 1967;

Permohonan ini difailkan oleh bankrap ke Mahkamah apabila keseluruhan tuntutan hutang dibayar sepenuhnya oleh bankrap melalui KPI kepada pemiutang-pemiutang yang telah membuktikan hutang dalam kebankrapan berserta fi dan kos pentadbiran kes. Mahkamah akan membatalkan kes kebankrapan apabila mahkamah berpuas hati bahawa hutang bankrap telah diselesaikan sepenuhnya.

(b) Pelepasan Melalui Perintah Mahkamah di bawah seksyen 33 Akta Insolvensi 1967;

Permohonan ini difailkan oleh bankrap pada bila-bila masa ke mahkamah selepas perintah kebankrapan. Mahkamah akan meneliti laporan KPI mengenai sikap dan kelakuan bankrap sepanjang tempoh pentadbiran kebankrapan. Mahkamah juga akan membuat keputusan sama ada untuk memutuskan pelepasan mutlak, pelepasan bersyarat atau pun menolak permohonan pelepasan.

(c) Pelepasan Melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi di bawah seksyen 33A Akta Insolvensi 1967

Bankrap boleh memohon untuk pelepasan melalui Sijil Pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) jika suatu tempoh 5 tahun telah tamat dari tarikh perintah kebankrapan. Antara faktor yang diberi pertimbangan oleh KPI ialah alasan permohonan, peratusan dividen yang boleh dibayar, kerjasama dan sikap bankrap sepanjang pentadbiran kes dan kepentingan pihak pemiutang.

Namun, KPI boleh melepaskan empat (4) kategori bankrap tanpa bantahan daripada pemiutang di bawah seksyen 33A yang dibaca bersama seksyen 33B(2A). Empat (4) kategori tersebut ialah:

i. bankrap atas alasan sebagai penjamin sosial;
ii. bankrap didaftarkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008;
iii. bankrap yang telah meninggal dunia; dan
iv. bankrap yang mengidap penyakit serius yang telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.

(d) Pelepasan Automatik di bawah seksyen 33C Akta Insolvensi 1967.

Melalui pindaan Akta Insolvensi 1967 yang berkuat kuasa pada 6.10.2017, bankrap boleh memohon untuk dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh 3 tahun dari tarikh pemfailan Pernyataan Hal Ehwal (PHE) dengan syarat-syarat tertentu.